Bulan lepas TM telah menyertakan pelan 500Mbps dan 800Mbps ke dalam barisan produk Unifi Home Broadband. Kedua-dua pelan berkenaan menawarkan kelajuan memuat naik yang sama iaitu 200Mbps.

Bagaimanapun baru-baru ini syarikat telekomunikasi berkenaan didapati secara senyap-senyap telah memotong separuh kelajuan memuat naik pelan 500Mbps kepada 100Mbps.

Hal ini telah dilaporkan menerusi portal SoyaCincau apabila seorang pengguna di Parit Buntaq telah menemukan perkara tersebut. Beliau seterusnya cuba mendapatkan penjelasan lanjut dari kakitangan di TMPoint.

Tinjauan mendapati halaman Home Broadband dan Unifi Your World di laman web rasmi Unifi telah dikemaskini dengan maklumat baharu kelajuan memuat naik pelan 500Mbps yang telah menjadi 100Mbps. Pun begitu dokumen FAQ promosi Unifi Your World pada halaman ini masih lagi kekal sama seperti yang asal iaitu kelajuan 200Mbps untuk memuat naik.

Keadaan ini sedikit sebanyak menimbulkan kekeliruan pada sesetengah pengguna dan diharapkan pihak TM tampil memberikan penjelasan lanjut kepada para penggunanya.

Tinggalkan komentar