TM berjanji akan mempercepatkan pelaksanaan fiber di negeri Sabah dan mensasarkan mencapai 58% liputan fiber di negeri berkenaan menjelang 2025, menghubungkan sekurang-kurangnya 125,000 buah premis dalam tempoh tiga tahun yang akan datang.

Ini merupakan penambahan kepada 282,000 buah premis sedia ada yang kini sudah mempunyai sambungan di seluruh Sabah. Sambungan ini juga melibatkan pemasangan 59 tapak penyambungan di sekolah-sekolah di dalam negeri yang turut berpeanan sebagai Points of Presence (POP).

Kesemuanya ini melibatkan pemasangan kabel optik gentian 32,000km di seluruh Sabah. Dalam pada masa yang sama TM kini sudah pun memasang sepanjang 600,000km kabel gentian optik di seluruh negara sebagai sebahagian daripada pelaksanaan program JENDELA.

TM turut mengumumkan pemasangan nod pertukaran Internet TM di Kota Kinabalu dan Penampang, dengan lebih banyak nod lagi akan disediakan di Inanam, Kinarut, Menggatal dan Putatan menjelang Disember 2022.

Pertambahan nod ini akan meningkatkan kelajuan memuat turun kandungan disamping mengurangkan kependaman bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pengguna.

TM juga sedang melihat untuk mengadakan penyetempatan kandungan di Penampang pada suku pertama 2023. Ini membolehkan penyedia perkhidmatan OTT menempatkan pelayan kandungan di dalam daerah yang seterus dapat mewujudkan nod Rangkaian Penghantaran Kandungan (Content Delivery Network, CDN) dan pelaksanaan Gerbang Antarabangsa (International Gateway, IGW).

Bulan lalu, TM telah melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf rangkaian termasuk Unifi di seluruh negara bagi memastikan rangkaian yang disediakan lebih pantas dan stabil. Sungguhpun tiada maklumat yang lebih terperinci dikongsikan, pihak penyedia perkhidmatan ini akan memaklumkan kepada pengguna yang terlibat melalui SMS dan pemulihan perkhidmatan akan dipulihkan kembali dalam tempoh 24 jam.

Tinggalkan komentar