TikTok sedang menguji sokongan untuk pengguna untuk memuat naik video berdurasi 60 minit. Ciri ini tersedia kepada kumpulan pengguna terhad di beberapa pasaran terpilih, dan TikTok mengatakan mereka tidak mempunyai rancangan dalam waktu terdekat ini untuk melancarkannya dengan lebih meluas.
Ciri tersebut yang pertama kali dikesan oleh perunding media sosial Matt Navarra, menandakan peralihan daripada format asal TikTok. Aplikasi ini membenarkan pengguna memuat naik video 15 saat pada asalnya, namun TikTok telah meningkatkan had tersebut sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Walaupun syarikat ini menjadi popular kerana format video pendeknya, ia secara perlahan-lahan menerima kandungan bentuk panjang untuk bersaing dengan salah satu pesaing terbesarnya iaitu YouTube.
TikTok mengatakan bahawa walaupun pencipta kandungan boleh menyusun cerita-cerita mengikut bahagian dengan memberitahu penonton untuk pergi ke bahagian dua atau sebagainya, terdapat perminataan yang mahukan durasi yang lebih panjang. Ia diperlukan untuk kandungan seperti demo masakan, tutorial kecantikan, pelan pengajaran pendidikan, sketsa komedi dan banyak lagi.
Tujuan peningkatan had durasi masa ini adalah untuk memberikan pencipta kandungan peluang untuk bereksperimen dengan kandungan-kandungan jenis baru. Ia juga boleh diperluas dengan lebih fleksibiliti, menurut TikTok lagi.
Sudah tentu, ini meletakkan TikTok dalam persaingan yang ketara tanpa berselindung lagi dengan YouTube. Apabila dapat memberikan pencipta kandungan kebolehan untuk memuat naik video selama 60 minit di TikTok, dijangkakan pencipta kandungan yang biasanya menyiarkan kandungan mereka di YouTube juga akan menyiarkan video mereka di TikTok.
Peningkatan had masa ini juga boleh membenarkan jenis kandungan baru untuk diposkan di TikTok, seperti episod penuh sesebuah rancangan TV. Seperti mana-mana ciri ujian, tidak diketahui bila atau jika TikTok merancang untuk melancarkan pilihan muat naik video 60 minit secara meluas.













