TikTok telah mengumumkan pelantikan Erica Mindel, mantan pegawai Jabatan Dalam Negeri AS sebagai Pengurus Dasar Awam dan Ucapan Kebencian. Ketika memegang jawatan secara kontrak jabatan tersebut, beliau membantu duta Deborah Lipstadt, utusan khas pentadbiran Presiden Biden bagi memantau dan membanteras antisemitisme.
Sebelum itu beliau merupakan tenaga pengajar di Kor Perisai di dalam Unit Jurucakap tentera Israel (IDF Spokesperson’s Unit). Maklumat ini pernah beliau kongsikan ketika sesi wawancara podsiar dengan Jawatankuasa Yahudi Amerika (American Jewish Committee).
Pelantikan baharu ini telah disahkan oleh TikTok kepada media Jewish Insider pada Isnin lalu. Mindel akan bertanggungjawab untuk membangun dan membentuk pendirian syarikat dalam ucapan kebencian, memperhalusi rangka dasar perundangan dan kawal selia, serta menganalisis trend ucapan kebencian.
Menurut deskripsi tugas rasmi yang dikongsikan oleh TikTok, jawatan beliau ini akan memberikan tumpuan khusus terhadap kandungan antisemitik.













