Sebahagian rakyat Malaysia mungkin tidak dapat menikmati harga petrol RON95 bersubsidi pada kadar RM1.99 seliter di bawah program BUDI95 sekiranya butiran pada MyKad dan lesen memandu tidak sepadan antara satu sama lain.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan terkini di halaman Facebook rasminya hari ini memaklumkan keperluan ini susulan analisis bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) yang mendapati sebahagian lesen memandu masih menggunakan nombor kad pengenalan lama.
Menurut MOF, lesen memandu bagi sesetengah individu tidak mencerminkan nombor MyKad 12 digit mereka. Sebaliknya ada yang masih mengandungi nombor kad pengenalan lama, nombor polis atau nombor tentera. Kementerian turut menekankan kepentingan memastikan nama dinyatakan dengan tepat pada lesen memandu. Disamping itu, kelas dan jenis kenderaan juga mesti dinyatakan secara tepat.
Bagi menangani sebarang percanggahan, MOF meminta orang ramai mengunjungi cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhampiran untuk mengemaskini maklumat. Kementerian berkata pihaknya bekerjasama dengan MOT untuk mengemaskini data secara mingguan bagi memastikan individu yang layak dapat menikmati manfaat RON95 bersubsidi.
Di bawah inisiatif BUDI95, rakyat Malaysia yang layak akan dapat memperoleh petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter bermula esok, 30 September. Walaupun tiada pendaftaran diperlukan, pengguna boleh menyemak kelayakan mereka melalui portal BUDI95 di laman web budi95.gov.my. Semakan baki penggunaan juga boleh dibuat di portal berkenaan.
Setiap warganegara Malaysia yang layak akan menerima kuota 300 liter petrol RON95 bersubsidi sebulan. Bagaimanapun, pemandu e-hailing dikecualikan daripada kuota ini.
Mekanisme Aplikasi Mudah Alih
Bagi mereka yang tidak gemar mengeluarkan MyKad setiap kali membeli petrol, MOF mencadangkan penggunaan aplikasi mudah alih stesen minyak. Antaranya aplikasi seperti Setel dan Caltex2Go untuk pengalaman yang lebih lancar. Sebagai alternatif, pengguna juga boleh menggunakan TNG eWallet yang disokong di semua stesen minyak.
Bagaimanapun, pengguna perlu memastikan telah melengkapkan proses e-KYC untuk aplikasi digital ini bagi mengesahkan identiti mereka. Hanya selepas itu dapat membeli petrol menggunakan peruntukan BUDI95 melalui aplikasi tersebut.
Program BUDI95 ini merupakan langkah kerajaan untuk mensasarkan subsidi petrol kepada golongan yang layak sambil memastikan integriti sistem melalui pengesahan identiti yang ketat.