Pengasas Telegram, Pavel Durov telah mengumumkan akan melancarkan satu pelan langganan premium khusus untuk platform permesejan Telegram. Dikenali kelak sebagai Telegram Premium, langganan baharu akan menawarkan pengguna dengan pelbagai kelebihan dan ciri-ciri eksklusif.
Beliau menjelaskan para penggunanya telah meminta Telegram untuk menaikkan had pada sesi borak, muat naik fail media dan sebagainya. Namun, ia tidak dapat dilakukan buat masa ini kerana akan menyebabkan pelbagai masalah bakal berlaku.
Antaranya masalah pertambahan jumlah trafik yang mendadak ke pelayannya dan ini akan menyebabkan peningkatan kos operasi yang melebihi tahap kemampuan syarikat tersebut untuk menanggungnya. Oleh demikian, pihaknya telah menetapkan untuk menawarkan ciri tersebut secara premium khusus untuk pengguna-pengguna tegar platform berkenaan.
#Telegram is working on a subscription plan called "Telegram Premium" đ
âšī¸ With "Telegram Premium" you can unlock premium stickers, additional reactions and more. pic.twitter.com/8X9YL89p3B
— Alessandro Paluzzi (@alex193a) May 1, 2022
Pavel Durov juga mengesahkan kesemua ciri sedia ada akan terus dikekalkan kepada pengguna umum. Saiz fail yang lebih besar, media dan juga pelekat-pelekat khas bagi pengguna premium juga masih boleh diterima dan dilihat oleh pengguna biasa tanpa sebarang masalah.
Sungguhpun beliau tidak memperincikan kelebihan unik untuk pelanggan-pelanggan Telegram Premium, beliau sempat memberikan gambaran umum mengenainya. Antaranya kelajuan menghantar fail bersaiz besar. Dalam pada masa yang sama, media turut melaporkan pelanggan Premium kelak mampu memuat naik saiz sehingga 4GB, bebas dari iklan dan boleh menyertai lebih banyak saluran Telegram berbanding pengguna percuma.
Buat masa ini, tidak diketahui berapakah harga langganan Telegram Premium tersebut. Namun desas-desus mengatakan harganya adalah sekitar USD5 (~RM22). Pavel Durov juga tidak menyatakan tarikh secara jelas mengenai pelancarannya. Tetapi hanya menyatakan Telegram Premium akan dilancarkan sekitar bulan ini.













