Telegram tidak lama lagi akan memperkenalkan langganan berbayar bagi penggunanya yang tidak mahu menerima iklan di dalam aplikasi perkhidmatannya. Minggu lepas, platform permesejan popular ini akan memaparkan mesej penaja di dalam aplikasinya bagi menampung kos.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Pavel Durov menerusi satu pengumuman di dalam saluran Telegramnya bagaimanapun tidak mendedahkan harganya. Apa yang dimaklumkan setakat ini, harga langganannya kelak tidak begitu mahal katanya.

Beliau turut menyatakan pentadbir saluran boleh mematikan iklan rasmi kepada seluruh pengguna di dalam saluran tersebut. Namun, pihak syarikat buat masa ini sedang melakukan penilaian keadaan ekonomi bagi fungsi tersebut.

Pavel Durov juga memaklumkan para pengiklan boleh menempatkan iklan “yang tidak kelihatan” pada mana-mana saluran. Cuma tidak diketahui bagaimanakah ia akan dilaksanakan kelak.

Buat masa ini, Telegram menyatakan mesej ditaja ini hanya akan dipaparkan pada saluran umum dengan lebih dari 1,000 keahlian. Ia tidak akan melibatkan ruang sembang dan saluran persendirian.

Apa yang menarik dengan pelaksanaan ini, Telegram mengatakan mereka mungkin akan berkongsikan keuntungan dari pengiklanan tersebut dengan pemilik saluran umum sebaik sahaja mesej tajaan tersebut mampu menanggung kos pengoperasian asas syarikat.

Iklan-iklan tersebut juga tidak akan melebih 160 aksara dan Telegram menegaskan pihaknya tidak akan mengamalkan penjejakan data. Bagi mengekalkan privasi pengguna tanpa menganggu ketepatan iklannya, para pengiklan boleh memilih saluran-saluran tertentu bagi memastikan iklan-iklan yang dipaparkan bersesuaian dengan topik sesebuah saluran tersebut.

Telegram merupakan sebuah platform permesejan yang besar dengan lebih dari 500 juta pengguna aktif. Baru-baru ini, platform tersebut menerima 70 juta pengguna baharu berikutan isu terputus akses ke Facebook dan WhatsApp.

Sebelum ini Telegram bergantung pada dana dari pelabur dan simpanan peribadi Ketua Pegawai Eksekutifnya untuk beroperasi. Namun, pada tahun lalu Pavel Durov telah mengumumkan pihaknya merancang untuk mula menjana sumber kewangan dari platform tersebut.

Tinggalkan komentar