Tecno akan memperkenalkan sebuah lagi telefon pintar ultra-nipis di pasaran melalui Pova Slim dan Spark Slim. Kedua-dua model berkenaan berukuran kurang dari 6mm tebal telah dilancarkan di India.
Pova Slim, merupakan sebuah telefon pintar nipis dengan ketebalan 5.95mm dan seberat kira-kira 156 gram. Menurut Tecno, untuk mencapai tahap nipis ini teknologi penindihan ruangan sarang lebah proprietarinya digunakan bagi memaksimumkan ruangan dalaman yang boleh digunakan.
Telefon pintar ini juga masih mampu menawarkan paparan AMOLED melengkung yang mempunyai kadar penyegaran semula 144Hz dan kecerahan puncak 4,500 nits. Melengkapkan spesifikasinya, telefon pintar ini juga mempunyai penarafan kerintangan debu dan air IP64.
Di dalamnya, Tecno Pova Slim dilengkapkan dengan pemprosesan MediaTek Dimensity 6400 dan ruangan kebuk pengewapan 0.3mm tebal. Untuk memori dan storan, telefon pintar ini menyediakan RAM LPDDR4x 8GB dan storan UFS 2.2 128GB.
Ia mempunyai bateri berkapasiti 5,160mAh yang setebal 4.04mm yang berkeupayaan pengecasan berwayar 45W dan pengecasan berbalik berwayar 10W. Untuk perisian, ia menggunakan antaramuka HiOS 15 berasaskan Android 15 dan Tecno AI.
Dari segi fotografi, terdapat dua modul kamera iaitu – kamera utama 50MP dan kamera sekunder 2MP. Selain dari kamera, bahagian bonggolnya juga menempatkan Mood Light LED untuk kesan pencahayaan berbilang suasana dan animasi khas untuk notifikasi. Bahagian hadapannya pula menempatkan kamera 13MP.
Sebagaimana yang dinyatakan tadi, kedua-dua model telefon pintar ini berkongsikan spesifikasi yang lebih kurang sama dan dibezakan pada beberapa perkara sahaja.
Tecno Spark Slim hadir lebih nipis dengan hanya berukuran 5.93mm dengan berat yang masih lagi sama. Ia juga menampilkan paparan melengkung AMOLED, kadar penyegaran semula dan kecerahan puncak yang sama, serta kerintangan debu dan air IP64 yang sama.
Pemprosesannya sahaja yang berbeza dengan Spark Slim menggunakan MediaTek Helio G200. Oleh itu, model ini juga tidak menyediakan sokongan 5G sebagaimana Pova Slim.
Di India, Tecno Pova Slim dijual pada harga ₹19,999 (~RM957) manakala Tecno Spark Slim pula harganya ₹17,999(~RM856). Tidak dapat dipastikan sama ada model telefon pintar ini akan hadir ke pasaran rantau lain termasuk Malaysia kelak.