Rentetan dari kejayaan pelancaran Pova 7 4G, Tecno Malaysia telah mengumumkan versi 5G dan Ultra model berkenaan akan tiba di Malaysia pada 8 Ogos ini. Varian baharu ini hadir dengan sokongan pengecasan nirwayar dan juga beberapa penambahbaikan lain.

Sama seperti model 4G, Pova 7 5G mempunyai paparan LCD IPS 6.78-inci beresolusi Full HD+ (1,080 x 2,460 px) dengan kecerahan puncak 900 nits. Ia juga mempunyai pembesar suara stereo dan kerintangan debu dan air IP64. Bezanya paparan model 5G ini tidak mempunyai kadar penyegaran semula 144Hz dan pengimbas cap jari.

Di dalamnya, model telefon pintar ini dikuasakan oleh pemprosesan MediaTek Dimensity 7300 Ultimate dengan RAM 8GB dan storan dalaman 256GB. Ia juga mempunyai pengecasan pantas 45W. Cuma, ia dibezakan dengan bateri bekapasiti 6,000mAh, lebih rendah berbanding model 4G yang mempunyai kapasiti 7,000mAh. Turut disediakan, telefon pintar yang menggunakan antaramuka Tecno HiOS 15 berasaskan Android 15 ini menyokong pengecasan nirwayar 30W.

Tecno Pova 7 5G memiliki kamera utama 50MP dan kamera berkedalaman yang tidak dinyatakan sensornya. Turut didatangkan bersama sistem Delta Light dan dwi-flash bagi tujuan sokongan pencahayaan. Terdapat sebuah kamera 13MP yang ditempatkan pada bahagian berpenebuk lubang pada paparan hadapannya.

Tecno Pova 7 Ultra 5G

Seterusnya untuk Tecno Pova 7 Ultra 5G pula, ia menampilkan paparan yang sedikit kecil pada 6.67-inci. Namun berkelebihan dengan penggunaan AMOLED 144HZ beresolusi 1,260 x 2,800 piksel dan kecerahan puncak 4,500 nits. Kacanya pula terbaja dengan Corning Gorilla Glass 7i bagi meningkatkan ketahanannya.

Telefon pintar baharu keluaran Tecno ini juga mempunyai sepasang pembesar suara stereo, pengimbas cap jari terbina bawah skrin dan kerintangan debu dan air IP64.

Tecno Pova 7 Ultra 5G menggunakan pemprosesan MediaTek Dimensity 8350 Ultimate dengan RAM 12GB dan storan sehingga 256GB. Ia mempunyai bateri berkapasiti 6,000mAh dengan sokongan pengecasan Ultra Charge 70W dan pengecasan nirwayar 30W. Untuk perisian ia menggunakan antaramuka Tecno HiOS 15 berasaskan Android 15, sama seperti model lain di dalam siri ini.

Untuk fotografi, model ini menampilkan kamera utama 108MP dengan lensa ultra lebar 8MP. Kamera hadapannya pula adalah 13MP yang ditempatkan pada bahagian berpenebuk lubangnya.

Tecno Pova 7 5G boleh didapati dalam tiga pilihan warna berbeza iaitu Geek Black, Magic Silver, dan Oasis Green. Manakala Tecno Pova 7 Ultra 5G pula mempunyai dua warna pilihan, Geek White dan Geek Black. Berdasarkan pelancarannya di India pada bulan lepas, Tecno Pova 7 5G dijual pada harga bermula dari INR18,999 (~RM919). Setakat ini untuk model Ultra pula ia masih belum dilancarkan secara rasmi.

Tinggalkan komentar