Spotify mempunyai pelbagai jenis langganan yang biasanya akan dibilkan kepada pengguna secara bulanan. Kini, Spotify memperkenalkan pelan langganan baharu melalui Premium Mini yang akan dibilkan secara mingguan dan harian.
Langganan Premium Mini hadir dengan segala apa manfaat yang disediakan pada pelan langganan bulanan. Ini termasuklah menikmati muzik bebas iklan, serta boleh mendengar senarai main atau siar dengar sehingga lima orang rakan melalui Group Sessions.
Bezanya, bilangan lagu yang boleh di muat turun di dalam satu-satu peranti dihadkan pada 30 buah lagu sahaja. Muat turun berkenaan akan hilang sebaik sahaja langganan Premium Mini tersebut tamat, sama seperti pelan biasa.
Bagi menggalakkan pengguna melanggan melalui Spotify Premium Mini, bayaran langganan juga dibenarkan dibuat melalui bil telekomunikasi anda. Kaedah bayaran pula ditetapkan sebagai prabayar, justeru ia tidak akan diperbaharui secara automatik.
Harga Spotify Premium Mini untuk langganan harian adalah RM 1, manakala untuk mingguan pula adalah RM 3.90.












