Kehadiran USB Type-C disambut dengan begitu baik berikutan pengenalan terhadap penyambungannya yang boleh diterbalikkan (reversible), penyaluran kuasa sehingga 100W dan kelajuan pemindahan data sehingga 10Gbps. Itupun, kelajuan sedia ada yang ditawarkan ini mampu dipertingkatkan lagi sehingga ke dua kali ganda.
USB 3.0 Promoter Group telah mengumumkan sedang membuat persediaan untuk menerbitkan spesifikasi USB 3.2. Kabel USB-C direka bentuk khusus untuk menyokong pengoperasian berbilang laluan. Ia telah pun diguna pakai pada USB 3.1 Gen 2 yang menyokong sehingga 10Gbps menggunakan dua laluan (5Gbps untuk setiap laluan). Melalui USB 3.2 ini, kadar pemindahan data berkenaan dipertingkatkan dengan membenarkan kadar pemindahan data sehingga 10Gbps untuk setiap laluan, menjadikan keseluruhannya 20Gbps atau bersamaan kelajuan pemindahan 2GB/saat.
Pastinya, untuk memanfaatkannya pengguna perlu menggunakan peranti yang menyokong USB 3.2.
“When we introduced USB Type-C to the market, we intended to assure that USB Type-C cables and connectors certified for SuperSpeed USB or SuperSpeed USB 10Gbps would, as produced, support higher performance USB as newer generations of USB 3.0 were developed,” ujar pengerusi USB 3.0 Promoter Group, Brad Saunders.
Oleh itu, sepatutnya kabel-kabel USB Type-C sedia ada boleh menyokong kelajuan USB 3.2 sebaik sahaja perkakasan yang menggunakan spesifikasi USB terbaru berkenaan hadir ke pasaran. USB 3.2 turut akan meneruskan penggunaan kadar kelajuan lapis fizikal USB SuperSpeed dan teknik encoding sedia ada dan hanya memerlukan kemaskini kecil spesifikasi hub bagi “memastikan perubahan operasi di antara laluan tunggal dengan laluan dua hala tanpa berklim”.
Spesifikasi USB 3.2 dijangkakan akan diterbitkan secara formal bersempena acara USB Developer Days North America pada September kelak. Sejurus selepas itu, ia terpulang kepada pengeluar perkakasan untuk mengimplementasikan spesifikasi terbaru berkenaan ke produk masing-masing.
Sumber berita diperoleh dari Ars Technica














Perkongsian yang bermanfaat. Memudahkan orang ramai mencari maklumat. Keep it up.