Spesifikasi dan imej yang didakwa sebagai telefon pintar keluaran baharu Samsung, Galaxy S24 dikatakan telah tertiris. Berdasarkan maklumat tersebut, kemungkinan siri berkenaan akan menampilkan rekaan dan spesifikasi yang lebih kurang sama dengan S23 yang diperkenalkan pada tahun ini.
Imej pengolokan model telefon pintar baharu tersebut pertama kali dilaporkan oleh portal berita Windows Report. Jika mengambil kira dari foto yang dikongsikan tersebut, Galaxy S24 dan S24+ akan hadir dengan pilihan warna Amber Yellow Cobalt Violet, Marble Grey. dan Onyx Black.
Untuk Galaxy S24 Ultra pula, ia akan menerima pilihan warnanya yang tersendiri sesuai dengan kerangka Titanium yang digunakannya. Warna-warna tersebut termasuklah Titanium Black, Titanium Grey, Titanium Violet, dan Titanium Yellow. Tidak ketinggalan, model Ultra masih lagi menawarkan S Pen seperti keluaran sebelumnya.
Dari segi spesifikasi, Galaxy S24 dijangka akan menggunakan pemprosesan Snapdragon 8 Gen 3 dengan beberapa negara mungkin akan menerima pemprosesan Exynos 2400 untuk model S24 dan S24+.
Lain-lain, siri telefon pintar ini mungkin mempunyai RAM berkapasiti 8GB untuk semua model dengan pilihan storan dijangka 256GB dan 512GB. Khas untuk model S24 Ultra, kapasiti storan yang ditawarkannya mencecah sehingga 1TB.
Kameranya pula hanya menyatakan mengenai Galaxy S24 Ultra sahaja dan ia dikatakan mungkin sama dengan S23 Ultra. Jika benar, mungkin ia akan hadir dengan kamera utama 200MP, ultra lebar 12MP, telefoto 10MP dengan zum optikal 3x dan kamera lebar 50MP dengan zum optikal 10x.
Samsung dijangka akan melancarkan siri Galaxy S24 pada cara Unpacked yang dijangka berlangsung pada 17 Januari tahun depan di San Jose, California, Amerika Syarikat.













