Ribut geomagnetik telah mengakibatkan 40 dari 49 buah satelit perkhidmatan internet Starlink mengalami kerosakan, menurut kenyataan dari SpaceX. Satelit-satelit berkenaan telah berjaya dilancarkan pada 3 Februari lalu menggunakan roket Falcon 9.

Sehari selepas pelancarannya dari Kompleks Pelancaran 39A di Pusat Angkasa Lepas Kennedy, Florida, ribut solar telah menghentam satelit berorbit rendah tersebut, mengakibatkan ketumpatan atmosfera dan daya seretannya meningkat.

Dilaporkan ribut berkenaan disebabkan oleh nyalaan suria berkeamatan tinggi yang terjadi kesan dari letusan suria selama empat pada 30 Januari. Kesan dari letusan tersebut telah diramal akan tiba ke ruang angkasa Bumi pada 2 Februari lalu.

Roket Falcon 9 SpaceX
Imej dari SpaceX Flickr

Satelit-satelit Starlink buat masa ini masih lagi di dalam mod selamat (safe-mode), kira-kira 210km di atas Bumi. Satelit berkenaan juga tidak boleh memulakan olah gerak (manoeuvres) ke orbitnya berikutan daya seretan atmosferanya meningkat sehingga 50%.

Menurut SpaceX, kesan dari insiden berkenaan juga menyebabkan 40 buah satelit yang terkesan tersebut memasuki semula atmosfera Bumi.

Namun demikian, pihak syarikat aeroangkasa berkenaan memberi jaminan satelit yang terkeluar dari orbit tersebut tidak mengancam satelit-satelit lain dan juga penduduk-penduduk Bumi.

Satu sistem telah dibina bagi mencegah mana-mana satelit yang tersasar tidak membahayakan mana-mana pihak. Sehingga kini, SpaceX telah melancarkan hampir 60 buah satelit di orbit rendah sejak 2019 bagi tujuan tatasusunan mega satelit perkhidmatan internetnya, Starlink.

Tinggalkan komentar