Sony Interactive Entertainment telah dianugerahkan paten yang memperlihatkan alat kawalan untuk permainan mudah alih. Sekilas pandang, ia kelihatan mirip dengan kebanyakan alat kawalan mudah alih pihak ketiga yang lain.
VGC melaporkan paten ini telah diterbitkan pada minggu ini oleh bahagian Sony berkenaan. Ia menunjukkan sebuah alat kawalan mudah alih yang mirip DualShock mengapiti telefon pintar di tengah-tengahnya.
Selain untuk digunakan bersama-sama PlayStation, ia juga berkemungkinan akan digunakan untuk perkhidmatan Remote Play. Menerusi fail paten berkenaan juga menunjukkan ia akan digunakan bersama-sama sebuah televisyen dengan konsol yang bersambungan.
Secara ringkasnya, ia membawakan penambahbaikan pada alat kawalan DualShock dengan menyertakan bersama telefon pintar.
Kebelakangan ini, kebanyakan pengeluar aksesori gemar mengikuti tatasusunan butang alat kawalan seakan-akan Nintendo Switch. Bezanya pada kedudukan d-pad dan kayu ria sebelah kiri ditempatkan pada sesebuah alat kawalan berkenaan.
Apa pun, buat masa ini alat kawalan tersebut masih lagi di peringkat paten sahaja. Sebagaimana kebiasaan paten-paten lain, tidak semestinya ia akan diterjemahkan kepada penghasilan sesebuah produk yang memasuki pasaran umum.













