Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah menyekat akses ke platform temujanji kontroversi, Sugarbook. Tindakan ini diambil sehari selepas platform berkenaan dilaporkan sedang disiasat oleh SKMM.

Seperti kebanyakan laman-laman lain yang telah disekat oleh SKMM, pengguna akan dilencongkan ke halaman notifikasi oleh suruhanjaya berkenaan. Turut dinyatakan di dalam notifikasi tersebut adalah pelanggaran Seksyen 233 di dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menerusi satu kenyataan yang dibuat awal hari ini, pihak SKMM telah mengesahkan akan menjalankan siasatan bersama dengan PDRM berhubung perkara ini.

Sugarbook ditubuhkan pada 2017 oleh usahawan tekno tempatan, Darren Chan. Melalui tagline “Where Romance Meets Finance” platform ini telah mengembangkan operasinya ke Singapura dan Filipina.

Platform temujanji ini pertama kali pernah mencetuskan kontroversi pada 2019 lalu menerusi pengiklanannya yang jelik pada pandangan masyarakat umum. Pada tahun ini, ia sekali mencetuskan polemik baharu dalam masyarakat apabila menerbitkan infografik menunjukkan carta kedudukan IPT tempatan berdasarkan bilangan ‘sugar babies’.

Tinggalkan komentar