Huawei masih lagi menghasilkan telefon pintar dengan kamera yang hebat walaupun berdepan dengan sekatan perdagangan oleh Amerika Syarikat (A.S.). Paling menonjol, telefon pintar siri Huawei P seperti Huawei P60 yang membawakan perkakasan kamera yang mantap di dalamnya.

Sungguhpun begitu, Huawei baru-baru ini telah mengumumkan penamatan jenama siri P tersebut dengan menjenamakannya semula sebagai “Pura”. Pengumuman yang dibuat menerusi akaun rasminya di Weibo menyatakan ia akan dimulakan dengan siri telefon pintar “Huawei Pura 70”.

Menurut hantaran tersebut, siri Huawei P berkenaan “dinaiktaraf” kepada Huawei Pura, lengkap dengan “gaya baharu”. Tambahnya lagi, produk-produk di dalam siri tersebut akan diteruskan selepas angka “70”.

Pentiris maklumat Digital Chat Station pula menyatakan Huawei mungkin sedang mengusahakan empat buat model baharu di dalam siri tersebut. Kemungkinan besar siri Huawei Pura 70 akan terbahagi kepada empat model iaitu:

  • HUAWEI Pura 70
  • HUAWEI Pura 70 Pro
  • HUAWEI Pura 70 Pro Plus
  • HUAWEI Pura 70 Ultra

Peniaga luar talian di China dikatakan telah menerima varian RAM dan storan yang berbeza bagi peranti tersebut dengan varian asasnya diketemukan dengan RAM 12GB dan storan 512GB. Model Pro pula hadir dengan varian storan sehingga 1TB, Pro Plus dengan RAM sehingga 16GB dan Ultra dengan hanya menawarakn storan 1TB sahaja. Maklumat ini bagaimanapun masih lagi belum rasmi, dan mungkin terdapat perubahan ketika pelancarannya kelak.

Dijangkakan tidak semua siri Huawei Pura 70 tersebut akan diperkenalkan ke pasaran luar China. Sebelum ini Huawei ada melancarkan Huawei P60 Pro ke pasaran Malaysia dan mungkin ada diantara Huawei Pura 70 akan memasuki pasaran tempatan.

Bagaimanapun, ketiadaan integrasi dengan Google menyukarkan Huawei menyakinkan pengguna untuk kembali menggunakan telefon pintar keluarannya. Huawei mempunyai gedung aplikasinya sendiri, namun ia masih lagi jauh untuk memberikan keyakinan kepada pengguna-pengguna yang sudah terbiasa menggunakan perkhidmatan Google.

Tinggalkan komentar