Huawei hari ini melancarkan siri Watch GT 6 baharu untuk pasaran Malaysia, menggantikan generasi GT 5 dengan teknologi terkini dan harga kompetitif bermula RM999. Siri ini terdiri daripada model biasa yang hadir dalam saiz 41mm dan 46mm, serta varian Pro 46mm yang dilengkapi ciri premium untuk pengguna yang lebih berkeperluan.
Syarikat teknologi China berkenaan memperkenalkan beberapa peningkatan signifikan pada generasi baharu ini. Antaranya sistem GPS yang dipertingkat dengan ketepatan 20 peratus lebih baik berbanding siri GT 5. Semua model dilengkapi paparan AMOLED beresolusi 466 x 466 piksel dengan saiz berbeza iaitu1.32 inci untuk model 41mm dan 1.47 inci untuk kedua-dua model 46mm dan Pro.
Model 46mm boleh bertahan sehingga 21 hari penggunaan ringan atau 13 hari penggunaan biasa, manakala model 41mm mencapai 14 hari penggunaan ringan.
Watch GT 6 turut memperkenalkan sistem TruSense yang dinaik taraf dengan pemantauan kadar variasi jantung (HRV) sepanjang hari. Turut diperkenalkan pemantauan tidur yang dipertingkat, serta pengesanan emosi dan stres yang lebih pantas termasuk apa yang dipanggil pengesanan emosi dua dimensi.
Bagi peminat sukan, dua mod baharu iaitu ski dan berbasikal telah ditambah. Mod berkenaan menyediakan ciri khusus seperti metrik kuasa maya berbasikal dan pengesanan automatik ketika pengguna mula atau berhenti di lampu isyarat.
Varian Pro pula dilengkapi mod tambahan untuk larian denai, selaman bebas dan golf dengan antara muka pengguna yang direka bentuk semula serta peta vektor dengan zum tanpa had. Model ini juga menawarkan fungsi elektrokardiogram (ECG) untuk pemantauan kesihatan yang lebih komprehensif.
Mengambil kira keperluan pengguna tempatan, semua model dalam siri GT 6 menyokong pembayaran QR TNG eWallet dan aplikasi MyBorderPass. Ciri keselamatan turut diperkukuh dengan pengesanan jatuh yang boleh memulakan permintaan bantuan secara automatik.
Pilihan Harga dan Ketersediaan
Watch GT 6 model 46mm ditawarkan dalam warna hijau, kelabu dan hitam, manakala model 41mm hadir dalam pilihan putih, ungu dan coklat. Model hitam dan ungu dihargai RM999, sementara warna lain pada RM1,099.
Bagi varian Pro, tiga pilihan tali tersedia—anyaman komposit coklat, titanium dan fluoroelastomer hitam—dengan harga masing-masing RM1,299 untuk versi coklat dan hitam, serta RM1,999 untuk model titanium.
Pra-tempahan kini dibuka di kedai fizikal Huawei, laman web rasmi dan platform e-dagang termasuk Shopee, Lazada dan TikTok Shop dengan hadiah bernilai sehingga RM446 termasuk Huawei FreeBuds 6i dan langganan Huawei Health+ selama tiga bulan.