ShopeePay hari ini memperluaskan perkhidmatan kewangan digitalnya dengan memperkenalkan Money+. Ia merupakan sebuah ciri pelaburan baharu dalam ekosistem aplikasinya.
Ciri yang dibangunkan dengan kerjasama iFAST Capital dan disokong oleh Eastspring Investments Islamic E-Duit Fund ini menawarkan instrumen pelaburan patuh Syariah kepada pengguna.
Ia membolehkan pengguna memperoleh pulangan harian dengan pelaburan permulaan serendah RM10. Di samping itu juga ia menyediakan akses mudah melalui aplikasi ShopeePay dan platform utama Shopee.
Money+ direka untuk memudahkan akses kepada pelaburan bagi rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas dan telah mengaktifkan akaun e-Dompet ShopeePay mereka melalui proses eKYC.
Menurut ShopeePay, ciri ini bukan sahaja menjana pulangan harian, malah baki dana tersebut boleh digunakan serta-merta untuk pembayaran melalui DuitNow QR atau dikeluarkan pada bila-bila masa.
Pulangan yang diperoleh pada hujung minggu dan cuti umum akan dikreditkan ke dalam baki pengguna pada hari bekerja berikutnya.
“Money+ direka untuk mengurangkan halangan melabur dan memudahkan akses, sekali gus menggalakkan lebih ramai pengguna memulakan perjalanan pembangunan kewangan mereka,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif ShopeePay, Alain Yee.
Pandangan ini turut disokong oleh Ketua Pegawai Eksekutif iFAST Malaysia, Dennis Tan, dan Ketua Pegawai Eksekutif Eastspring Investments Berhad, Yap Siok Hoon, yang hadir sama di pelancaran tersebut.
Promosi Money+ ShopeePay
Bersempena dengan pelancarannya, ShopeePay turut menawarkan promosi terhad untuk menggalakkan penggunaan ciri baharu ini.
Pengguna yang mengekalkan baki minimum RM150 dalam akaun Money+ layak menerima bonus tambahan sehingga RM1,000, dengan potensi pulangan sehingga 6% setahun yang dikreditkan setiap hari. Promosi ini sah bermula dari 27 Januari sehingga 27 April 2026.
Berikut adalah ringkasan ciri utama ShopeePay Money+:
- Patuh Syariah: Disokong oleh Eastspring Investments Islamic E-Duit Fund.
- Modal Rendah: Pelaburan bermula serendah RM10.
- Fleksibiliti: Dana boleh digunakan terus untuk pembayaran DuitNow QR atau dikeluarkan bila-bila masa.
- Pulangan Harian: Pulangan dikreditkan setiap hari (bukan jaminan) berdasarkan prestasi dana.
Walau bagaimanapun, pengguna dinasihatkan untuk memahami bahawa pulangan harian adalah tidak dijamin. Ia bergantung kepada prestasi sejarah yang mungkin tidak mencerminkan keputusan masa hadapan.
ShopeePay juga menjelaskan dana yang diperuntukkan ke dalam Money+ diklasifikasikan sebagai pelaburan. Ia bukan e-wang atau deposit, dan oleh itu tidak dilindungi oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM).













