Bermula dari esok, Shopee tidak menyediakan lagi pilihan syarikat kurier penghantaran bagi setiap pembelian yang dibuat. Segala pilihan penghantaran melalui platform membeli belah dalam talian ini akan ditetapkan secara automatik oleh sistemnya.
Perubahan yang mula berkuatkuasa pada 17 Jun 2021 ini dikatakan dibuat bagi meningkatkan tahap kecekapan pada harga yang paling berbaloi untuk pengguna, menurut Shopee.
Pengguna akan disediakan dengan tiga pilihan penghantaran iaitu “Standard Delivery”, “Economy Delivery” dan “Lain-lain“. Maklumat mengenai kos dan tempoh masa penghantaran akan dimaklumkan kepada pengguna melalui sistem baharu berkenaan, namun maklumat mengenai syarikat kurier mana yang menguruskan tidak dinyatakan.
Pelaksanaan perubahan ini sudah pun dijalankan secara berperingkat sejak dari beberapa minggu yang lalu dan esok pada 17 Jun 2021, ianya akan dilaksanakan secara sepenuhnya.













