Subsidi petrol BUDI95 akan mula dilaksanakan pada 30 September 2025 dengan pengesahan kelayakan boleh dibuat menggunakan MyKad. Dalam pada masa yang sama, Petronas telah mengesahkan aplikasi isian minyak Setel juga boleh digunakan untuk mendapatkan petrol pada harga subsidi RM1.99 seliter.
Petronas mengumumkannya menerusi plaform media sosialnya dengan menyatakan pengesahan hanya perlu dilakukan sekali sahaja. Selain itu, pelanggan yang membayar menerusi aplikasi tidak perlu melakukan pengesahan MyKad secara manual di kaunter.
Proses pengesahan tersebut dilakukan secara e-KYC (electronic Know-Your-Customer) seperti yang dilakukan pada aplikasi e-wallet, dan bank digital. Pengguna yang ingin membuat pengesahan perlu menghantar gambar depan dan belakang MyKad, dan swafoto selain dari mengisi maklumat yang diperlukan.
Pelaksanaan program subsidi BUDI95 dijadual bermula pada hujung bulan ini untuk seluruh warganegara Malaysia tanpa mengira tahap pendapatan. Setiap warganegara akan diberikan kuota 300 liter pada setiap bulan. Bagi pemandu e-hailing, permohonan penambahan kuota boleh dibuat melalui kaedah yang akan diumumkan oleh Kementerian Kewangan kelak.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Urusan Shell Malaysia Encik Shairan Huzani Husain melakukan demonstrasi pengesahan MyKad secara terus di pam minyak. Beliau menunjukkan proses berkenaan dapat dilakukan dengan mudah dan ringkas.