Kerajaan Negeri Selangor mengorak langkah strategik dengan melancarkan projek rangkaian gentian gelap (dark fibre) milik negeri. Inisiatif ini diklasifikasikan sebagai utiliti asas setaraf dengan bekalan air dan elektrik.
Fasa pertama projek ini bermula dengan pemasangan kabel gentian optik berkapasiti tinggi sepanjang 41.1 kilometer di Cyberjaya. Ia dijangka siap dalam tempoh enam bulan.
Projek rintis di Cyberjaya ini merupakan asas kepada Rangkaian Gentian Gelap Selangor yang lebih meluas. Ia disasarkan meliputi sejauh 889 kilometer ke seluruh negeri dalam tempoh tiga tahun.
Inisiatif ini diterajui oleh anak syarikat milik kerajaan negeri, SmartSel Sdn. Bhd., dengan kerjasama OCK Group Berhad sebagai pelaksana pembangunan infrastruktur tersebut. Pembangunan ini dilihat kritikal bagi menyokong pertumbuhan ekonomi digital negeri, termasuk pembangunan pusat data dan industri berintensifkan data.
Tulang Belakang Digital Selangor
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, projek ini adalah keperluan mendesak bagi menyediakan asas infrastruktur digital yang kukuh untuk masa hadapan.
“Projek fiberisasi ini merupakan keperluan masa kini dan hadapan bagi menyediakan asas infrastruktur digital yang kukuh untuk menyokong pertumbuhan ekonomi digital, termasuk pembangunan pusat data, sektor perkilangan dan industri berasaskan data serta pelaburan bernilai tinggi.
“Oleh itu, kita memberikan tumpuan membina ‘tulang belakang’ digital negeri dan sebagai projek perintis, inisiatif ini akan menjadi asas kepada pembangunan Selangor Dark Fiber Network yang lebih strategik, inklusif dan berorientasikan kepentingan awam,” katanya.
Berikut adalah perincian utama projek Rangkaian Gentian Gelap Selangor:
- Kos Pelaburan: Dianggarkan menelan belanja antara RM500 juta hingga RM800 juta melalui kerjasama strategik swasta dan sokongan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
- Fasa Pembangunan: Bermula dengan 41.1 km di Cyberjaya, diikuti laluan 178 km di Shah Alam, dan sasaran keseluruhan 889 km siap dalam masa tiga tahun.
- Konsep Rangkaian: Merupakan rangkaian terbuka (open access) dan neutral, membolehkan penyedia perkhidmatan menggunakannya tanpa sekangan proprietari.
- Kaedah Pembinaan: Mengutamakan penggunaan jajaran sedia ada seperti landasan kereta api dan lebuh raya bagi meminimumkan gangguan.
Projek ini akan menjadi tulang belakang digital bagi aspirasi Selangor untuk muncul sebagai hab pintar serantau. Dengan penyediaan infrastruktur gentian yang neutral dan berskala besar, ia dijangka menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi serta mempercepatkan penyampaian perkhidmatan awam berasaskan teknologi.













