Televisyen pintar atau smart TV secara asasnya merupakan televisyen yang memiliki keupayaan sambungan ke internet. Walaupun fungsi ini ada kalanya berguna, namun persoalannya adalah, adakah televisyen pintar ini benar-benar berbaloi dengan nilai wang ringgit anda?
Pada pendapat saya, ia sangat tidak berbaloi dan membazir.
Hal ini kerana, kebanyakan fungsi-fungsi yang disediakan oleh televisyen pintar ini amat jarang digunakan oleh pengguna biasa. Tapi, bukanlah nak kata fungsi ni langsung tak berguna, ada gunanya jugak. Cuma kadang-kadang, kelebihan fungsi tersebut tidak setara dengan kelemahan-kelemahan lain yang terdapat pada televisyen tersebut. Misalnya;
Risiko ancaman keselamatan
Sebagaimana peranti-peranti bersambungan internet lain, keselamatan merupakan perkara pokok yang perlu dititik beratkan oleh pengguna. Televisyen pintar tidak terkecuali di dalam hal ini dan ia merupakan kebimbangan terbesar di kalangan pemerhati teknologi mengenai risiko-risiko yang bakal dihadapi pengguna.
Antara yang dibimbangi adalah risiko keselamatan yang boleh dimanipulasikan melalui kamera yang turut disertakan pada televisyen-televisyen pintar. Ia berisiko untuk disalahgunakan untuk tujuan pengintipan dan juga melanggar hak-hak peribadi pengguna apabila penggodam boleh menggunakannya untuk merakam dari jarak jauh tanpa pengetahuan pengguna.
Lagipun, umum sedia maklum selama ini kebanyakan webcam pada laptop atau desktop boleh digodam dan dimanipulasikan dari jauh tanpa diketahui pemiliknya. Oleh itu, bukan sesuatu yang mustahil jika kamera pada televisyen pintar ini dimanipulasikan oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab dengan menggunakan eksploitasi sambungan internet televisyen berkenaan.
Selain dari manipulasi kamera televisyen pintar, penggodam juga dapat menceroboh dengan memasang malware melalui kelemahan yang terdapat pada firmware televisyen berkenaan.
Idea bagus, pelaksanaan hancus
Pada asalnya, idea televisyen pintar ini sememangnya bagus. Walaubagaimanapun, pelaksanaannya tidak begitu menarik bagi penonton televisyen biasa dan apa yang diharapkan dari realiti penonton televisyen hari ini tidak selaras dengan apa yang ditawarkan oleh pengeluar-pengeluar televisyen pintar.
Tambahan pula, masalah talian internet di Malaysia yang dikira terlalu mahal untuk pengguna biasa menjadikan pengalaman menonton secara strim melalui televisyen pintar bukanlah pengalaman yang menyeronokkan. Pengguna perlu sekurang-kurangnya melanggan pakej internet berkelajuan tinggi seperti Unifi bagi mengelakkan timbulnya sebarang masalah sewaktu menonton secara strim.
Televisyen pintar mampu membawakan perkhidmatan-perkhidmatan saluran penstriman berdasarkan permintaan seperti perkhidmatan Netflix, Hulu, Pandora, dan Spotify yang mana tidak terdapat pada televisyen biasa.
Namun, perkhidmatan-perkhidmatan televisyen pintar seperti yang dinyatakan di atas boleh juga didapati pada televisyen biasa melalui penggunaan Chromecast dan Roku.
Antaramuka Televisyen Pintar tidak begitu Pintar
Fungsi pintar harus memerlukan antaramuka yang pintar juga. Antaramuka televisyen pintar agak sukar dikendalikan dan ianya tidak sama seperti yang biasa digunakan pada telefon pintar dan komputer.
Ia tidak mesra pengguna dan amat sukar untuk memasukkan input dengan bergantung pada alat kawalan jauh yang didatangkan bersama dengan televisyen berkenaan.
Masalah ini dapat diselesaikan jika pengeluar televisyen pintar menyediakan input masukan dari pengguna dengan menggunakan papan kekunci pihak ketiga atau menggunakan fungsi arahan suara dari pengguna untuk pengguna mencari saluran dan menggunakan aplikasi-aplikasi perkhidmatan yang ditawarkan.
Aplikasi televisyen pintar tidak sebaik yang ditawarkan pada telefon pintar
Apabila televisyen pintar mula diperkenalkan, antara faktor yang menarik minat pembeli adalah kebolehan untuk memuat turun dan memasang aplikasi-aplikasi pada televisyen pintar berkenaan. Aplikasi-aplikasi seperti Netflix, Amazon Prime Video, YouTube, TED Talks, dan Spotify merupakan antara yang sesuai dipasang.
Namun demikian, aplikasi berkenaan mempunyai masalahnya tersendiri seperti rekaan antaramuka yang sukar dikendalikan dan juga masalah dari segi prestasi. Hal ini kerana, kuasa pemprosesan TV pintar kebanyakannya kurang dari kuasa pemprosesan telefon pintar dan tablet biasa yang ada di pasaran sekarang ini.
Oleh itu, masalah-masalah seperti lag dan tergendala sewaktu mengendalikan TV pintar adalah perkara lumrah yang sering berlaku pada pengguna-pengguna TV pintar.
Masalah-masalah sebegini sudah dijangkakan memandangkan penyedia-penyedia kandungan perlu melakukan pengubahsuaian dari segi compatibility peranti-peranti yang boleh disokongnya dan sudah tentu penyedia kandungan akan lebih mengutamakan compatibility kandungan mereka pada telefon pintar berbanding televisyen pintar.
Lain-lain fungsi pada televisyen pintar
Smart Media Playback. Bagi televisyen seperti jenama Samsung, fungsi yang dinamakan sebagai Smart Link boleh digunakan untuk membuat sambungan tanpa wayar antara komputer anda dengan tv pintar bagi membolehkan fail-fail media distreamkan secara terus dari komputer ke televisyen pintar. TV-TV pintar jenama lain turut menyediakan fungsi yang hampir sama dengan nama yang lain.
Teknologi paparan 3D. Pengguna perlu memakai cermin mata 3D untuk memanfaatkan fungsi ini. Walaubagaimanapun, kebanyakan pengguna lebih selesa menonton televisyen seperti biasa tanpa teknologi 3D. Fungsi 3D ni seronok masa mula-mula beli je, lepas tu kita akan rasa bosan dan kembali menonton TV seperti cara biasa.
Melayari laman web dan bermain game. Televisyen pintar boleh digunakan untuk melayari laman web dan bermain game dan tidak terhad sekadar tontonan strim. Namun, akibat masalah pengendalian antaramukanya yang sukar serta masukan input yang tidak mesra pengguna, bermain permainan video atau menggunakan laman web dengan menggunakan alat kawalan jauh televisyen bukanlah sesuatu yang seronok. Buat lagi tension ada la.
Kesimpulan
Pada pendapat saya, walaupun teknologi televisyen pintar wajar dikagumi, ia tidak relevan dengan keperluan penonton televisyen hari ini. Penonton hari ini boleh sahaja mendapatkan alternatif lain yang lebih murah dari TV pintar seperti Chromecast, Roku dan Intel ComputeStick untuk dipasangkan pada labuhan HDMI televisyen biasa.
Lagipun, bagi pengguna yang dah sudah terbiasa dengan saluran-saluran Astro dan drama-drama TV3 pukul 7 petang tu, takda beza apa pun antara guna televisyen pintar dengan televisyen biasa. Tambahan pula, kos internet berkelajuan tinggi khusus untuk aktiviti penstriman kandungan masih lagi dikira terlalu mahal di Malaysia. Oleh itu, pembelian televisyen pintar bukanlah sesuatu yang berbaloi bagi perbelanjaan jangka panjang anda.













