Buat anda yang gemar membelek-belek harga cakera keras (hard disk) di platform e-dagang, anda mungkin menyedari terdapat sebilangan yang dijual pada harga yang amat rendah dari kebiasaan. Penjualnya pula sering mendakwa perkakasan tersebut adalah baharu dan asli bagi menutup rasa curiga dari pembeli.
Baru-baru ini Seagate dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dilaporkan telah membongkar kegiatan penjualan cakera keras palsu tersebut, menurut Heise Online. Maklumat tersebut diperoleh dari wakil pengedar tempatan yang mengesyaki harga rendah luar biasa untuk beberapa jenis cakera keras yang dijual dalam talian.
Siasatan lanjut mendapati pemacu tersebut merupakan unit kitar semua yang kebanyakannya digunakan untuk perlombongan mata wang kripto Chia. Data diagnostiknya telah pun dimanipulasi bagi melindungi kesan haus dan lusuh perkakasan tersebut.
Kegiatan tersebut dinyatakan oleh Seagate sebagai sofistikated dari mula hingga akhir proses tersebut yang melibatkan pemadaman data SMART, pelabelan semula, pembungkusan semula dan pengedaran.
700 Cakera Keras Dirampas
Ketika serbuan di sebuah bengkel yang terletak di luar Kuala Lumpur pada Mei lalu, pihak berkuasa telah merampas hampir 700 cakera keras. Antara yang dirampas pelbagai model keluaran Seagate berkapasiti sehingga 18TB. Unit-unit dari jenama pengeluar lain seperti Western Digital dan Toshiba turut dirampas.
Enam individu telah ditahan dalam operasi serbuan tersebut dengan terdapat bukti yang menunjukkan kumpulan berkenaan giat menghasilkan semula pemacu desktop tersebut sebagai model “bergred pengawasan (untuk CCTV dan sebagainya)”. Rakaman video proses pelabelan tersebut juga diketemukan ketika serbuan dilakukan.

Seagate kini telah memperketatkan program rakan kongsinya dengan mewajibkan pengedar dan penjual mendapatkan produk-produk dari saluran-saluran yang sah sahaja. Rakan-rakan kongsi juga perlu mematuhi Saringan Perdagangan Global (Global Trade Screening, GTS) bagi mengurangkan risiko pembekal tidak sah.
Walaupun firmware unik dari Seagate membolehkan pengacauan (tampering) dikesan, pemacu dari pengeluar lain mungkin tidak dapat mengesannya. Dibimbangi aktiviti pemalsuan ini turut melibatkan pengeluar-pengeluar cakera keras lain.
Orang ramai digesa sentiasa berwaspada apabila membeli perkakasan storan di dalam talian terutamanya yang dijual pada harga luar biasa rendah.













