Samsung Electronics telah melancarkan Digital Home Key ke dalam aplikasi Samsung Wallet. Ia membolehkan pengguna peranti Samsung Galaxy membuka kunci pintu rumah pintar (smart door lock) yang disokong menggunakan telefon pintar.

Pengumuman ini dibuat pada 2 Mac 2026 semasa pameran Mobile World Congress (MWC) 2026.

Ciri Digital Home Key merupakan perluasan keupayaan Samsung Wallet yang sebelum ini menyokong kunci kereta digital (Digital Car Key), kad pembayaran, kad keahlian, dan dokumen pengenalan diri.

Pengguna Samsung Galaxy kini boleh menyimpan dan mengurus kunci rumah digital terus dalam Samsung Wallet.

Menurut Woncheol Chai, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pasukan Dompet Digital di Samsung Mobile eXperience (MX), “Kami terus mengembangkan Samsung Wallet bagi menyampaikan pengalaman mudah alih yang dipercayai dan terus kekal sebagai teras inovasi kami,”

“Melalui kerjasama rapat dengan rakan kongsi kami dan selaras dengan piawaian Aliro, Digital Home Key membawa tahap keselamatan dan kemudahan yang sama seperti yang dijangkakan oleh pengguna Samsung Galaxy daripada Samsung Wallet untuk kediaman masing-masing,” tambah beliau lagi.

Digital Home Key dibina berdasarkan piawaian Aliro 1.0, iaitu protokol komunikasi industri yang dibangunkan oleh Connectivity Standards Alliance (CSA) Organisasi yang sama mencipta piawaian Matter untuk rumah pintar dan dianggotai Samsung.

Cara menggunakan Digital Home Key di dalam Samsung Wallet

  • Persediaan: Kunci pintu pintar yang serasi perlu didaftarkan terlebih dahulu melalui aplikasi Samsung SmartThings menggunakan piawaian Matter.
  • Penambahan kunci: Pengguna boleh menambah Digital Home Key ke dalam Samsung Wallet semasa proses pendaftaran kunci pintu.
  • Kaedah buka kunci:
    • Mengetuk telefon pada kunci pintu menggunakan teknologi NFC (Near-Field Communication)
    • Buka kunci tanpa sentuhan melalui pengesanan jarak UWB (Ultra-Wideband) apabila pengguna menghampiri pintu
    • Kawalan jauh melalui aplikasi

Dari aspek keselamatan, kunci rumah digital disimpan selamat dalam peranti dan dilindungi oleh Samsung Knox, platform keselamatan terkemuka Samsung.

Ciri ini juga direka untuk memenuhi piawaian pensijilan EAL6+, yang biasa digunakan dalam persekitaran keselamatan tinggi.

Pengguna dikehendaki mengesahkan identiti mereka melalui pengesahan biometrik atau PIN sebelum boleh menggunakan Digital Home Key.

Sekiranya telefon hilang atau dicuri, pengguna boleh mengurus atau menyahaktifkan kunci tersebut dari jauh melalui aplikasi Samsung Find.

Jenama Kunci Pintar yang Disokong

Samsung bekerjasama dengan beberapa pengeluar kunci pintar terkemuka bagi menyokong ciri Digital Home Key ini, termasuk:

  • Aqara
  • Nuki
  • Schlage
  • Xthings (Ultraloq)

Lebih banyak jenama dijangka akan turut disokong pada masa hadapan seiring dengan penerimaan piawaian Aliro secara meluas.

Samsung memulakan pelancaran ciri Digital Home Key pada Mac 2026 di kawasan terpilih. Sokongan teknologi UWB yang membolehkan buka kunci tanpa sentuhan pula dijangka tersedia pada April 2026.

Ketersediaan ciri ini juga dirancang untuk diperluaskan apabila lebih banyak jenama kunci pintar menjadi serasi di pelbagai lokasi.

Tinggalkan komentar