Samsung secara rasmi telah mengumumkan cipset perdana generasi baharunya, Exynos 2600, yang menandakan satu pencapaian penting dalam industri semikonduktor.

Cip ini merupakan pemproses telefon pintar pertama yang dibina menggunakan proses fabrikasi 2nm Gate-All-Around (GAA), teknologi yang sebelum ini menjadi tumpuan pelbagai ketirisan maklumat dalam beberapa bulan kebelakangan ini.​

Exynos 2600 menampilkan unit pemprosesan pusat (CPU) 10-teras yang dibina berasaskan arkitektur Arm v9.3 terkini. Bagi model kali ini, Samsung mengambil pendekatan berbeza dengan tidak lagi menggunakan teras kecil (little cores). Ia digantikan dengan teras pertengahan untuk meningkatkan kecekapan.

Konfigurasi baharu ini merangkumi satu teras utama C1-Ultra dengan kelajuan jam 3.8GHz. Dibantu oleh tiga teras prestasi C1-Pro pada 3.25GHz, dan enam teras kecekapan pada 2.75GHz.​

Grafik yang lebih canggih

Menurut Samsung, pemproses baharu ini mencatatkan peningkatan sebanyak 39% dalam prestasi pengkomputeran CPU. Dari aspek grafik, Unit Pemprosesan Grafik (GPU) Exynos Xclipse 960 dikatakan mempunyai prestasi dua kali ganda lebih baik berbanding model terdahulu.

Ia juga hadir dengan peningkatan 50% dalam prestasi ray tracing serta dilengkapkan dengan keupayaan pemprosesan imej dan penambahbaikan (upscaling) berasaskan AI.​

Berikut adalah spesifikasi dan ciri utama Exynos 2600:

  • Prestasi AI: Peningkatan prestasi sebanyak 113%, membolehkan peranti mengendalikan tugasan dengan lebih pantas dan cekap.​
  • Keselamatan: Dilengkapi keselamatan maya dan ciri kriptografi pasca-kuantum hibrid berasaskan perkakasan untuk privasi yang lebih teguh.​
  • Pengimejan: Menyokong kamera sehingga resolusi 320MP dan rakaman video 8K pada kadar 30fps.​
  • Memori & Paparan: Sokongan untuk RAM LPDDR5X, storan UFS 4.1, dan paparan 4K dengan kadar segar semula 120Hz.​
  • Pengurusan Haba: Menggunakan teknologi Heat Path Block (HPB) dengan bahan High-k EMC untuk pemindahan haba yang lebih efisien bagi memastikan prestasi stabil.​

Setakat ini, Samsung belum mendedahkan secara rasmi senarai peranti yang akan dilengkapkan dengan cip pemprosesan ini. Walau bagaimanapun, laporan dan spekulasi sebelum ini menjangkakan bahawa Exynos 2600 akan digunakan dalam siri Galaxy S26 di pasaran-pasaran terpilih.

Tinggalkan komentar