Siri telefon pintar Samsung Galaxy S20 telah dijadualkan bakal dilancarkan pada minggu depan bersempena acara Unpacked yang bakal berlangsung di San Francisco, A.S.
Rekaan luarannya dan nama S20 masih lagi belum diumumkan secara rasmi oleh Samsung. Namun, maklumat berkenaan secara “tidak sengaja” telah ditiriskan oleh Samsung di laman web rasminya.
Pertama kali dikesan oleh laman web teknologi dari Jerman, WinFuture, imej promosi model telefon berkenaan telah dimuat naik ke laman web rasminya. Halaman tersebut bukan sekadar memaparkan imej kerangka LED khusus untuk telefon pintar berkenaan, malah turut mengesahkan penggunaan nama Galaxy S20.
Rekaan luarannya pula turut disahkan sama sepertimana yang pernah ditiriskan oleh laman teknologi OnLeaks dan IceUniverse. Bagaimanapun, halaman yang telah dimuat naik tersebut tidak menyatakan spesifikasi Samsung Galaxy S20.
Menurut WinFuture lagi, halaman tersebut bersama-sama imej di dalamnya telah diturunkan semula tidak beberapa lama selepas ianya dimuat naik. Walaubagaimanapun, ia sempat ditangkap layar (screen shot) oleh WinFuture. Tahun lepas, Samsung juga secara tidak sengaja telah meniriskan halaman mengenai telefon pintar siri Galaxy Note 10 sehari sebelum pelancaran rasminya.
Acara Samsung Unpacked bakal dilangsungkan pada 11 Februari 2020 dan turut melancarkan siri telefon pintar Galaxy S20 dalam acara berkenaan. Di dalam acara tersebut, sebuah lagi peranti terbaru keluaran Samsung, Galaxy Z Flip turut dijangka akan dilancarkan.
Sumber berita diperoleh dari WinFuture













