Menjelang pelancaran siri Galaxy S26, persoalan mengenai kehadiran varian tambahan seperti Galaxy S26 Edge dan S26 Pro kini terjawab.

amsung dilaporkan tidak akan melancarkan kedua-dua model tersebut semasa acara Galaxy Unpacked yang dijadualkan pada bulan Februari nanti.

Ketidakhadiran model-model ini didedahkan menerusi sebuah dokumen yang diterbitkan oleh Samsung Colombia. Dokumen tersebut memperincikan pelan promosi yang akan dijalankan apabila peranti baharu itu dilancarkan secara rasmi di Colombia.

Dalam senarai produk yang layak menerima promosi tersebut, Samsung hanya menyenaraikan tiga model utama sebagai fokus pelancaran, iaitu:

  • Galaxy S26
  • Galaxy S26+
  • Galaxy S26 Ultra

Ketiadaan nama Galaxy S26 Edge dan S26 Pro dalam senarai rasmi ini mengesahkan bahawa model-model tersebut tidak akan diperkenalkan pada bulan hadapan.

Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna peranti tersebut telah dibatalkan sepenuhnya seperti yang didakwa oleh laporan terdahulu.

Masih terdapat kemungkinan kecil model-model ini dilancarkan pada tarikh yang lain. Namun, jangkaan untuk melihat kemunculannya dalam masa terdekat adalah tipis.

Selain itu, semakan terhadap dokumen yang sama turut mendapati tiada sebarang rujukan dibuat mengenai model kelas pertengahan, Galaxy A37 dan Galaxy A57.

Sebelum ini, terdapat laporan yang mendakwa kedua-dua peranti ini mungkin dilancarkan serentak dengan siri mercu (flagship) tersebut. Berdasarkan bukti baharu ini, pelancaran serentak tersebut mungkin tidak akan berlaku.

Peminat Samsung yang menantikan kemunculan semula varian ‘Edge’ atau model ‘Pro’ nampaknya perlu berpuas hati dengan barisan standard siri S26 buat masa ini. Segala maklumat lanjut dan pengesahan akhir hanya akan diketahui apabila Samsung mengumumkan peranti ini secara rasmi kelak.

Tinggalkan komentar