Selepas mengumumkan telefon pintar mercunya tahun ini, siri Galaxy S24, kini tiba giliran kehadiran telefon pintar peringkat menengah tahun ini melalui Samsung Galaxy A35 dan Galaxy A55. Sungguhpun kedua-duanya merupakan telefon pintar yang berlainan model, terdapat beberapa ciri persamaan antara model-model tersebut.

Misalnya, Galaxy A55 dan Galaxy A35 didatangkan dengan paparan AMOLED Full HD+ 6.6-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz. Kedua-dua model tersebut juga mempunyai bateri berkapasiti 5,000mAh dengan sokongan pengecasan berwayar 25W.

Di Malaysia, dijangkakan pilihan storan untuk model-model telefon pintar Samsung keluaran baharu ini hanya setakat 256GB sahaja. Kapasiti RAM untuk Galaxy A55 dikatakan mempunyai sebanyak 12GB dengan Galaxy A35 pula ia mempunyai RAM sejumlah 8GB. Tiada maklumat mengenai pemprosesan yang digunakan oleh siri baharu Galaxy A ini, namun menurut laporan oleh GSMArena, kedua-dua telefon pintar berkenaan masing-masing menggunakan Exynos 1480 dan Exynos 1380.

Samsung Galaxy A55 dan Galaxy A35 juga didatangkan dengan tri-kamera dengan kamera utama 50MP dan kamera makro 5MP. Cuma kamera bersudut lebarnya sahaja yang berbeza dengan masing-masing mempunyai kamera 12MP dan kamera 8MP. Untuk kamera hadapan pula, telefon pintar ini mempunyai 32MP dan 13MP masing-masing.

Setakat ini tiada tarikh ketersediaan dan juga harga untuk Galaxy A55 dan Galaxy A35 bagi pasaran Malaysia. Dijangkakan pengumuman rasminya akan dibuat dalam masa yang terdekat ini.

Maklumat lanjut, layari Samsung Malaysia.

Tinggalkan komentar