Tahun lalu, Samsung merupakan pengeluar peranti Android pertama yang menerbitkan beta umum untuk Android 12 khusus untuk peranti-perantinya. Malah, Samsung juga yang pertama menerbitkan versi stabil sistem operasi berkenaan.
Kini, untuk Android 13 yang akan datang, beta umum bagi versi tersebut dijangka akan diumumkan lebih awal oleh Samsung. Menurut sumber dari SamMobile, gergasi elektronik dari Korea Selatan ini mempersiapkan untuk menerbitkan beta terbuka One UI 5 berasaskan Android 13 dalam tempoh tiga hingga empat bulan. Ini bermakna, ia dijangka akan hadir seawal bulan Julai ini.
Tempoh masa ini juga mampu memberikan Samsung waktu secukupnya untuk memperkemaskan kemaskini tersebut sebelum menerbitkan versi muktamadnya yang dijangka hadir sekitar hujung tahun ini, berdasarkan waktu terbitan versi antaramuka terkininya sebelum ini.
Sebelum ini, beta Samsung One UI 4 berasaskan Android 12 telah diterbitkan pada September tahun lalu dengan kemaskini stabilnya hadir sekitar November. Peranti mercu keluaran Samsung akan menerima keutamaan untuk kemaskini ini dan disusuli oleh telefon peringkat menengah yang baharu. Dalam pada masa yang sama, Samsung juga telah menjanjikan untuk menawarkan sehingga empat kemaskini utama untuk sebahagian perantinya.
Pratonton pembangunan Android 13 sebelum ini telah diterbitkan pada Februari lalu dengan binaan beta terkininya akan diterbitkan secara bulanan bermula dari bulan ini. Berdasarkan perancangan dari Google, binaan hampir muktamadnya akan diterbitkan sekitar Julai ini dan ia tidak akan begitu lama sebelum binaan stabilnya akan diterbitkan.












