Samsung telah mula menawarkan ciri Maintainance Mode untuk telefon pintar Galaxy bagi tujuan melindungi mesej, foto, maklumat, dan akaun anda ketika ia dibawa untuk dibaiki. Ciri berkenaan telah mula diuji sejak Julai lalu dan telah dilancarkan untuk pengguna-pengguna di China pada bulan lepas.

Buat permulaan, siri Galaxy S22 akan mula hadir kepada pengguna-pengguna global dengan lebih banyak model telefon pintar lain akan menyusul dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Samsung, Maintenance Mode secara asasnya mewujudkan akaun pengguna berasingan yang hanya membenarkan akses ke fungsi teras peranti sahaja. Ini bermakna, juruteknik yang membaiki telefon pintar berkenaan masih mampu menguji dan membaiki tanpa anda perlu bimbang jika data sensitif anda diceroboh.Samsung Maintenance Mode

Selepas telefon Galaxy berkenaan dikembalikan semula setelah selesai dibaiki, anda boleh mematikan Maintenance Mode berkenaan. Segala apa yang dilakukan sepanjang tempoh Maintenance Mode berkenaan diaktifkan seperti imej yang ditangkap, aplikasi yang dipasang dan tetapan akan dinyahkan.

Untuk menghidupkan Maintenance Mode, pergi ke Settings > Battery and Device Care > Maintenance Mode.

Samsung menjelaskan ciri ini akan ditawarkan secara berperingkat kepada pengguna dalam tempoh beberapa bulan ini pada telefon pintar terpilih yang menggunakan antaramuka One UI 5 berasaskan Android 13. Sebelum ini Samsung pernah dilaporkan mengeluarkan senarai peranti-peranti Galaxy keluarannya yang akan menerima kemaskini One UI 5. Pun begitu, penawaran kemaskini terbaru tersebut bergantung pada pasaran, model dan juga rangkaian peranti berkenaan.

Tinggalkan komentar