Bersempena dengan acara Unpacked di San Francisco baru-baru ini, selain dari pelancaran Galaxy S20, Samsung turut melancarkan Galaxy Z Flip. Telefon pintar ini merupakan telefon pintar boleh lipat kedua dari Samsung selepas Galaxy Fold yang dikeluarkan pada tahun lepas.
Rekaan luaran Galaxy Z Flip sudah pun mula tersebar di media dalam talian sejak beberapa bulan kebelakangan ini dan disiarkan menerusi iklan sewaktu acara Anugerah Academy yang berlangsung baru-baru ini. Ciri rekaannya menampilkan rekaan penutup cengkerang mirip rekaan telefon boleh lipat Motorola RAZR V3 dulu-dulu.
Samsung Galaxy Z Flip hadir dengan paparan Infinity Flex Dynamic AMOLED 6.7-inci Full HD+ yang dilindungi oleh lapisan boleh lentur Ultra Thin Glass. Telefon pintar ini juga menampilkan sebuah lagi paparan Super AMOLED 1.1-inci yang boleh digunakan untuk menyemak notifikasi atau sebagai pemidang tilik (viewfinder) untuk tangkapan swafoto melalui kamera utamanya.
Untuk kamera Galaxy Z Flip, kamera utamnya menampilkan lensa utama 12MP f/1.8 Dwi Piksel bersama-sama lensa bersudut ultra-luas 12MP f/2.4. Untuk hadapannya pula, terdapat sebuah lensa 10MP f/2.4 ditempatkan di dalam paparannya.
Engsel yang lebih lasak
Turut dinyatakan di dalam majlis pelancarannya, Galaxy Z Flip menggunakan engsel khusus untuknya iaitu Hideaway Hinge. Engsel ini menampilkan mekanisme dwi-CAM yang mampu memastikan kelancaran engsel, serta turut menyertakan gentian nilon bagi melindunginya dari habuk dan kotoran.
Melalui keupayaan boleh dilipatkan pada pelbagai sudut, Hideaway Hinge pada Galaxy Z Flip mampu bertahan sehingga 200,000 kali aksi membuka dan menutup peranti berkenaan. Secara asasnya, ia mampu bertahan untuk tempoh penggunaan sehingga 5 tahun.
Samsung turut menjalinkan usahasama dengan Google bagi menampilkan ciri mod Flex pada Galaxy Z Flip yang membolehkan skrinnya terbahagi apabila ditempatkan pada posisi tegak sendiri.
Dari segi pemprosesannya, Galaxy Z Flip menggunakan cipset Qualcomm Snapdragon 855+. Manakala untuk RAM, kapasiti yang ditawarkan adalah 8GB dan storan dalamannya pula 256GB. Melengkapkan spesifikasinya, telefon pintar terbaru Samsung ini menawarkan kapasiti bateri 3,300mAh yang menyokong pengecasan pantas berwayar dan nirwayar, Wireless PowerShare.
Galaxy Z Flip mula dijual di pasaran Amerika Syarikat pada harga USD 1,380 (~RM 5,703) bermula 14 Februari ini. Setakat ini Samsung Malaysia masih lagi belum mengumumkan tarikh keberadaan telefon pintar ini di pasaran Malaysia. Namun, berdasarkan halamannya telah pun muncul pada laman web rasmi Samsung Malaysia, Galaxy Z Flip akan memasuki ke pasaran Malaysia tidak berapa lama lagi.













