Tidak lama selepas Samsung melancarkan Galaxy Z Flip 4 dan Z Fold 4 menerusi acara Unpacked pada 10 Ogos lalu, pra-tempahan untuk kedua-dua peranti berkenaan terus dibuka di Malaysia sejurus selepas itu.
Kini, selepas promosi pra-tempahan tersebut telah tamat, Samsung memperkenalkan satu lagi promosi untuk dua model telefon pintar boleh lipat baharu tersebut.
Bermula dari 2 September, anda yang membeli Samsung Galaxy Z Flip 4 dan Galaxy Z Fold 4 akan berpeluang menerima Galaxy Watch 4 secara percuma. Ia merupakan model Bluetooth dengan saiz 40mm bernilai RM799.
Selain itu, anda juga turut berpeluang menerima waranti tambahan Samsung Care+ selama 1 tahun yang didatangkan bersama-sama tiga gantian lapisan perlindungan. Skim waranti ini merupakan lanjutan dari waranti 1-tahun yang standard tamat.
Tawaran yang sama juga disediakan bagi anda yang merancang untuk mendapatkan Z Flip 4 Bespoke Edition. Samsung Galaxy Z Flip 4 edisi ini menawarkan sebanyak 75 kombinasi warna yang boleh anda pilih mengikut citarasa anda.
Selain boleh didapati secara eksklusif di kedai dalam talian Samsung Malaysia, anda juga boleh melakukan pensampelan warna Bespoke Edition di 61 buah lokasi di seluruh negara. Pesanan dibuat berdasarkan permintaan pengguna dan akan mengambil masa sekitar tiga hingga empat minggu untuk sampai ke pengguna.
Menurut Samsung, promosi ini ditawarkan sehingga hujung September ini selagi stok masih ada. Untuk maklumat lanjut, layari https://www.samsung.com/my/offer/mobile/launch/galaxy-z-fold4-flip4/
Dalam pada masa yang sama, anda juga boleh melihat dengan lebih dekat telefon pintar boleh lipat Samsung Galaxy Z Flip 4 dan Galaxy Z Fold 4 menerusi jelajah pelancarannnya di seluruh negara yang bermula di Setia City Mall Shah Alam dan Mid Valley Southkey Johor Bharu pada 2 hingga 4 September ini.
Jelajah ini seterusnya akan singgah ke Imago Mall Kota Kinabalu dan Gurney Plaza Penang dari 9 hingga 11 September sebelum menamatkannya pada 29 September hingga 2 Oktober di Sunway Pyramid.













