Dilancarkan bersama-sama siri Samsung Galaxy S22, tablet Samsung Galaxy Tab S8 memuatkan segala perkakasan terbaik di pasaran setakat ini. Siri ini hadir dalam tiga model iaitu Samsung Galaxy Tab S8, Galaxy Tab S8 Plus, dan Galaxy Tab S8 Ultra.

Kali ini kami telah menerima sebuah unit Samsung Galaxy S8 Ultra untuk diulas dan menerusi artikel ini, kita akan melihat sepintas lalu tablet terbaik dari Samsung setakat ini.

Sekali imbas, saiz kotak pembungkusan Samsung Galaxy S8 Ultra kelihatan seperti saiz sebuah laptop. Hal ini kerana saiz paparan 14-inci yang ditawarkan oleh tablet ini merupakan antara terbesar yang pernah hadir ke pasaran Malaysia setakat ini.

Samsung menyertakan bersama-sama Book Cover keyboard di dalam kotak pembungkusan Samsung Galaxy S8 Ultra ini. Menariknya, papan kekunci ini didatangkan di dalam bentuk saiz penuh dan turut menyediakan pad penjejak (trackpad), sama seperti yang biasa terdapat pada kebanyakan laptop.

Selain papan kekunci tersebut dan juga tablet berkenaan, kotak pembungkusan Samsung Galaxy Tab S8 Ultra turut menyediakan helaian manual, kabel pengecasan USB-C dan juga pin penolak dulang slot kad. Tidak ketinggalan, sebatang pena stylus S Pen turut dimuatkan bersama.

S Pen yang disediakan ini merupakan generasi terkini yang sama seperti yang terdapat pada Samsung Galaxy S22 Ultra. Cuma bezanya pada saiznya yang lebih besar dan sama seperti saiz pen biasa yang digunakan untuk menulis. Pena stylus ini juga mempunyai tahap kepekaan yang tinggi dengan kadar kependamannya serendah 2.8ms. Ia juga hadir dengan sokongan Air Commands yang menawarkan pelbagai fungsi kawalan melalui pergerakan.

Book Cover dengan papan kekunci khusus untuk Samsung Galaxy Tab S8 Ultra

Book Cover dengan papan kekunci yang disediakan hadir dengan warna hitam matte. Ia direka secara khusus untuk digunakan bersama-sama Samsung Galaxy Tab S8 Ultra.

Bahagian papan kekunci boleh disambungkan pada bahagian bawah tablet ini melalui pin pogo yang disediakan dan juga boleh dilekapkan secara magnetik. Papan kekunci ini menyediakan pelbagai set kekunci pintas yang merangkumi kecerahan skrin, kawalan suara, mod desktop DeX, serta pad sesentuh yang memberikan pengalaman kepenggunaan seperti sebuah laptop.

Separuh dari bahagian Book Cover ini pula boleh dilekapkan secara magnetik pada permukaan belakang Samsung Galaxy Tab S8 ini. Ia mempunyai bonggol yang boleh menjadi tempat ruangan menyimpan S Pen.

S Pen berkenaan juga boleh melekap pada permukaan belakang pada bahagian sebelah kamera secara magnetik. Bahagian berkenaan juga boleh diselak untuk memudahkan anda mengambil dan menyimpan S Pen anda di tempat tersebut. Pada separuh lagi bahagian bawah Book Cover ini mempunyai lipatan yang boleh dijadikan kaki cagak untuk mendirikan laptop mengikut kesesuaian sudut pilihan anda.

Sememangnya, Book Cover yang disediakan bersama-sama tablet ini melengkapkan fungsi keseluruhannya disamping memudahkan pengguna memanfaatkan sepenuhnya ciri yang ditawarkan.

Sekilas pandang rekaan Samsung Galaxy Tab S8 Ultra

Saiz skrin Samsung Galaxy Tab S8 merupakan ciri yang paling mencuri tumpuan melalui paparan Super AMOLED 14.6-inci. Tontonan kandungan penstriman seperti Netflix mahupun YouTube pastinya lebih menarik melalui paparan yang hebat sebegini.

Paparannya hadir dengan bingkai yang tipis disekelilingnya, menjadikan nisbah skrin ke badan 90%. Ia juga mempunyai nisbah aspek paparan 16:10, menjadikan amat sesuai juga untuk digunakan bagi kerja-kerja yang melibatkan produktiviti.

Turut disediakan melalui paparan ini adalah sokongan pengimbas cap jari yang ditempatkan pada sebelah kanan bagi menyediakan ciri keselamatan biometrik.

Beresolusi sehingga 1,848 x 2,960 piksel, paparan ini juga menyokong ciri HDR10+. Justeru, membolehkan tablet ini menyediakan kualiti paparan yang amat menawan melalui paparan Super AMOLED padanya.

Memandangkan tablet ini direka khusus bagi kegunaan secara melintang, kamera hadapannya ditempatkan pada bahagian takuk di tengah-tengah tablet ini. Ia menempatkan dwi-kamera dengan kamera utama 12MP dan kamera utlra lebar 12MP. Pun begitu, Samsung Galaxy Tab S8 Ultra ini masih boleh digunakan seperti biasa secara menegak.

Tablet besar yang Nipis dari Samsung

Seperkara lagi yang menarik tentang tablet ini adalah saiznya yang amat nipis iaitu hanya setebal 5.5mm sahaja. Ia juga amat ringan iaitu hanya 726 gram sungguhpun mempunyai bateri berkapasiti sebesar 11,200mAh.

Binaan Samsung Galaxy Tab S8 Ultra ini juga lebih kukuh melalui peningkatan kelasakannya dengan Armor Aluminium. Sama seperti yang terdapat pada Galaxy Z Fold 3, Galaxy Z Flip 3 dan siri Galaxy S22.

Pada sisi atas tablet ini (jika diletakkan secara melintang, mod lanskap), terdapat butang kuasa, kawalan bunyi dan dulang yang menempatkan slot kad mikroSD. Sisi kiri dan kanannya pula menempatkan sepasang corong pembesar suara yang diberikan penalaan oleh AKG. Juga disediakan pada sisi kanannya adalah satu port USB-C yang boleh digunakan bagi tujuan pengecasan dan juga pemindahan fail.

Bahagian belakang tablet ini turut menyediakan dwi-kamera yang mengandungi satu kamera utama 13MP dan kamera ultra-lebar 6MP yang mampu merakam video sehingga 4K. Satu jalur magnetik disediakan bersebelahan kamera ini bagi membolehkan anda melekatkan S Pen di situ.

Serba sedikit mengenai spesifikasi Samsung Galaxy Tab S8 Ultra

Konfigurasi RAM dan storan bagi Samsung Galaxy Tab S8 bagi pasaran Malaysia hanya menawarkan satu pilihan sahaja iaitu masing-masing 12GB dan 256GB sahaja.

Tablet yang dikuasakan dengan pemprosesan Snapdragon 8 Gen 1 ini menggunakan antaramuka Samsung One UI 4.1 sebaik sahaja anda memulakannya selepas dinyahkotak.

Dalam masa yang terdekat, antaramuka ini dijangka akan menerima manfaat yang lebih besar melalui kemaskini Android 12L dan Android 13. Kemaskini ini juga dikatakan akan memanfaatkan kelebihan tablet Android dengan paparan besar. Ia diharapkan mampu mengetengahkan ciri peningkatan produktiviti pengguna yang selama ini Google sering terlepas pandang pada versi kemaskini Android yang terdahulu.

Fungsi peningkatan produktiviti pengguna buat masa ini boleh digunakan dengan baik pada Galaxy Tab S8 Ultra melalui Samsung DeX. Menerusinya, anda dihidangkan dengan antaramuka sistem operasi yang mirip dengan desktop dan menyediakan pelbagai fungsi produktiviti seperti sokongan membuka aplikasi berbilang tetingkap. Ini secara tidak langsung dapat memberi ruang untuk menjadikan Samsung Galaxy Tab S8 Ultra sebagai pengganti kepada laptop.

Dari segi ketersambungan nirwayar, unit yang kami terima untuk ulasan ini menawarkan sokongan Wi-Fi 6E 802.11ax, dan Bluetooth 5.2. Samsung Galaxy Tab S8 juga menyediakan sokongan sambungan secara fizikal (peripheral) melalui port USB-C dan juga pin pogo untuk disambungkan dengan papan kekunci Book Cover yang disertakan bersama-sama di dalam kotak pembungkusannya. Pun begitu, tiada pengecas disediakan untuk tablet yang mempunyai bateri berkapasiti 11,200mAh dengan keupayaan kadar pengecasan sehingga 45W dan 15W pengecasan berbalik ke peranti-peranti lain.

Sekali imbas penggunaannya dapat dirasakan kelancarannya memandangkan ia hadir dengan RAM 12GB serta pemprosesan Snapdragon 8 Gen 1. Pandangan awal kami mengenai Samsung Galaxy Tab S8 Ultra ini adalah ia peranti yang amat sesuai bagi kegunaan para karyawan digital kerana dapat memanfaatkan sebaiknya S Pen generasi baharunya serta faktor saiz paparannya yang besar.

Harga Samsung Galaxy Tab S8 Ultra di Malaysia

Model Harga saranan Memori & Storan Hadiah Percuma
Samsung Galaxy Tab S8 Ultra RM5,899 12GB + 256GB Satu (1) S Pen dan satu (1) Book Cover Keyboard di dalam kotak bernilai RM1,738
Samsung Galaxy Tab S8+ RM4,599 8GB + 256GB
Samsung Galaxy Tab S8 RM3,299 8GB + 128GB

Untuk maklumat lanjut Samsung Galaxy Tab S8 Ultra, layari laman web Samsung Malaysia di pautan berikut: https://www.samsung.com/my/tablets/galaxy-tab-s/galaxy-tab-s8-ultra-wifi-graphite-256gb-sm-x900nzajxme/

Anda juga boleh berkunjung di kedai-kedai Samsung dan wakil pengedarnya yang sah berhampiran anda hari ini. Ulasan lebih lanjut mengenai tablet ini akan kami kupas menerusi artikel yang akan datang.

Tinggalkan komentar