Samsung dilaporkan sedang membangunkan sebuah ciri privasi skrin elektronik baharu yang dikenali sebagai “Privacy Display” untuk model mercu akan datang, Galaxy S26 Ultra.

Ciri inovatif yang dikesan melalui kemaskini perisian One UI 8.5 ini membolehkan pengguna menyembunyikan kandungan skrin daripada pandangan sisi tanpa memerlukan pelindung skrin fizikal tambahan.

Teknologi ini dijangka menjadi salah satu tarikan utama peranti tersebut yang bakal dilancarkan pada awal tahun ini bagi menangani isu privasi di tempat awam.

Berdasarkan maklumat yang tertiris, ciri Privacy Display ini berfungsi dengan memanipulasi cahaya piksel skrin untuk mengurangkan sudut pandangan (viewing angle) secara elektronik.

Apabila diaktifkan, paparan skrin akan kelihatan gelap atau kabur jika dilihat dari arah sisi, namun kekal jelas bagi pengguna yang memandang terus ke arah peranti.

Ini merupakan langkah signifikan Samsung untuk mengintegrasikan perlindungan privasi terus ke dalam perkakasan dan perisian. Ia sekaligus menghapuskan keperluan pengguna membeli lapisan filem privasi pihak ketiga yang sering menjejaskan kualiti paparan.

Kewujudan ciri ini diketemukan melalui animasi tutorial yang ditemui dalam aplikasi Samsung Tips pada versi beta One UI 8.5.

Walaupun Samsung belum mengeluarkan kenyataan rasmi, terdapat sejumlah laporan yang menguatkan spekulasi tersebut berdasarkan penemuan di dalam kod perisian. Jika desas-desus ini benar, kemungkinan Galaxy S26 Ultra menjadi peranti pertama yang mempopularkan ciri tersebut secara meluas.

Tinggalkan komentar