Siri Galaxy S25 turut melancarkan bersama model Edge yang ultra-nipis di beberapa pasaran terpilih. Rentetan dari kehadiran model baharu tersebut, ura-ura menyatakan Samsung mungkin akan menggantikan model Plus dengan Edge pada siri Galaxy S26 yang akan datang.
Bagaimanapun, buat masa Samsung dilihat sedang mempertimbangkan semula perubahan tersebut.
Menurut laporan media dari Korea Selatan, The Elec, Samsung baru-baru ini telah membangunkan peranti baharu yang menggunakan nama kod, “M Plus”. Peranti tersebut diramalkan mungkin merupakan Galaxy S26 Plus. Justeru, menjadikan siri yang akan datang terdiri daripada empat model iaitu S26 Pro, S26 Edge, S26 Ultra dan ditambah dengan S26 Plus.
Berkemungkinan, perubahan yang didakwa berlaku dalam masa terdekat ini berpunca daripada sambutan terhadap Galaxy S26 Edge yang kurang memberangsangkan. Samsung juga merancang sekadar menghasilkan kira-kira 300,000 unit di antara September dan Disember tahun ini.
Dalam pada masa yang sama, sejumlah 500,000 unit S25 Plus dirancang untuk dihasilkan dalam tempoh yang sama. Permintaan untuk model-model ini bagaimanapun tidak setinggi permintaan untuk model asas dan Ultra yang jauh lebih laris.
Samsung pada kebiasaannya melancarkan telefon pintar mercunya pada awal tahun. Dijangkakan siri Galaxy S26 akan diperkenalkan sekitar bulan Januari atau Februari tahun hadapan. Dalam tempoh berbaki beberapa bulan sahaja lagi, pembangunan model Plus berkenaan mungkin dilihat sudah agak terlalu lewat.
Pun begitu, maklumat yang diterima bukanlah dari sumber rasmi dan sama ada khabar ini benar-benar berlaku atau tidak, sama-sama kita nantikan pengumuman rasmi dari Samsung.