Desas-desus terkini mengenai Samsung Galaxy S26 Edge mendakwa telefon pintar super-slim tersebut akan kelihatan seperti iPhone 17 Pro yang akan datang. Imej pengolokan yang menunjukkan bezel yang lebih nipis dengan ruangan menempatkan kamera belakang tersebut dikongsikan dengan Android Headlines oleh pentiris maklumat OneLeaks.

Galaxy S26 Edge ditunjukkan dengan reka bentuk yang amat berbeza dengan Galaxy S25 Edge yang menampilkan tata susunan tiga kamera memanjang ke bawah. Sebaliknya, S26 Edge dijangka akan menampilkan ruangan dengan dua buah kamera yang lebih mirip dengan rekaan iPhone 17 Pro yang tertiris. Bezanya iPhone 17 Pro kelak dikatakan akan hadir dengan tiga buah kamera.

Ura-ura mengatakan Galaxy S26 Edge akan menggantikan tempat Galaxy S26 Plus, selain turut dijangka akan menampilkan pengecasan Qi2 dengan magnet terbina dalam. Android Headlines juga mendakwa Galaxy S26 Edge akan lebih nipis berbanding model sebelumnya dengan ukuran 5.5mm, berbanding S25 Edge sebelum ini yang berukuran 5.8mm.

Sama ada benar atau tidak dakwaan ini, sama-sama kita nantikan kehadiran siri Galaxy S26 yang dijangka akan diperkenalkan sekitar Januari tahun hadapan.

Tinggalkan komentar