Laporan terkini dari Korea Selatan mendedahkan Samsung dijangka akan melancarkan siri telefon pintar mercu baharunya, Galaxy S26 pada 25 Februari ini. Pelancaran tersebut diadakan di dalam sebuah acara Galaxy Unpacked yang dijadualkan berlangsung di San Francisco
Susulan daripada pelancaran tersebut, peranti berkenaan dilaporkan akan mula dijual di pasaran bermula awal Mac. Tarikh ini dilihat agak lewat berbanding kebiasaan. Ini memandangkan siri terdahulunya Galaxy S25 dilancarkan secara rasmi pada bulan Januari tahun lalu.
Kelewatan ini dikaitkan dengan beberapa isu pengeluaran yang dihadapi oleh syarikat gergasi teknologi dari Korea Selatan tersebut.
Pun begitu, ada berita baik untuk pengguna yang menantikan peranti ini. Samsung dilaporkan telah membatalkan hasrat untuk menaikkan harga jualan bagi siri Galaxy S26. Dalam pada masa yang sama, terdapat khabar angin sebelum ini mengenai peningkatan kos pembuatan.
Menurut laporan oleh Maeil Business Newspaper, strategi pengekalan harga ini diambil kerana Samsung mahu mengelakkan kehilangan pegangan pasaran. Samsung kini berdepan cabaran sengit dari Apple dan pengeluar telefon pintar dari China.
Laporan tersebut juga menyatakan bahawa pengekalan harga ini akan diteruskan pada siri peranti boleh lipat, Galaxy Z Fold8 dan Flip8 yang dijangka tiba pada bulan Julai nanti.

Berikut adalah anggaran harga jualan antarabangsa bagi siri Galaxy S26 berdasarkan ketirisan tersebut:
- Galaxy S26 (standard): US$799 (~RM3,241)
- Galaxy S26 Plus: US$999 (~RM4,052)
- Galaxy S26 Ultra: US$1,299 (~RM5,270)
Sebagai rujukan, siri Galaxy S25 di Malaysia sebelum ini ditawarkan pada harga permulaan RM3,999.
Walau bagaimanapun, langkah ‘pemurah’ ini nampaknya hanya terhad kepada peranti kelas premium jenama tersebut. Samsung dilaporkan masih merancang untuk menaikkan harga bagi sesetengah model dalam siri Galaxy A.
Langkah ini dikatakan bertujuan untuk meminimumkan reaksi negatif pengguna sambil melindungi pendapatan syarikat, walaupun belum ada maklumat terperinci mengenai model spesifik yang akan terkesan.













