Dilancarkan bersama-sama siri Galaxy S25 lain, model tertinggi di dalam siri ini, Galaxy S25 Ultra turut diperkenalkan. Sama seperti dua model di dalam ‘adik-beradik’ ini, S25 Ultra juga menampilkan One UI terkini, alatan Galaxy AI baharu, dan juga pemprosesan mudah alih paling canggih dari Qualcomm, Snapdragon 8 Elite for Galaxy.
Model Ultra pada tahun ini dilihat beralih dari bentuk kotak gaya Note seperti yang terdahulu dengan kali ini mempunyai bucu yang membulat, selaras dengan rekaan model Galaxy S25 yang lain. Perubahan-perubahan rekabentuk lain adalah amat kecil seperti bingkai yang lebih tebal sedikit pada kamera-kamera belakang dan bezel yang lebih nipis pada paparan. Ia juga menampilkan bahan titanium dan juga kerintangan air dan debu IP68.
S Pen yang berintegrasi dengan telefon pintar masih lagi dikekalkan pada model ini. Seperti biasa ia ditempatkan pada bahagian bawah kiri Galaxy S25 Ultra. Cuma, untuk kali ini ia tidak mempunyai sokongan ketersambungan Bluetooth. Oleh itu, anda tidak boleh menggunakannya sebagai alat kawalan jauh ketika mengambil foto seperti model sebelum ini.
Menurut Samsung, keputusan untuk tidak menyediakan sokongan Bluetooth pada S Pen ini adalah bagi mengurangkan berat pena stylus ini secara khusus dan juga berat S25 Ultra secara amnya. Atas sebab itu, berat model pada tahun hanya 218 gram sahaja, 14 gram lebih ringan berbanding sebelum ini.
Corning Gorilla Armor 2
Dari segi spesifikasi, model Ultra ini menampilkan panel paparan Dynamic AMOLED 2X 6.9-inci beresolusi QHD+ dengan kadar penyegaran semula 120Hz dan dilindungi oleh Corning Gorilla Armor 2.
Gorilla Armor 2 adalah satu kejayaan besar dalam teknologi kaca seramik, menggabungkan ketahanan yang unggul dengan kejelasan paparan yang luar biasa pada skrin telefon pintar.
Keputusan Samsung untuk memasukkan Gorilla Armor 2 ke dalam Galaxy S25 Ultra menekankan kerjasama erat antara Samsung dan Corning serta komitmen bersama kedua-dua syarikat terhadap inovasi dan kepuasan pelanggan.
“Galaxy S25 Ultra melambangkan kemajuan besar dalam menyediakan pengalaman mudah alih yang paling tahan lasak untuk pengguna kami,” kata Kwangjin Bae, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pasukan R&D Mekanikal Mobile eXperience Business di Samsung Electronics. “Kerjasama kami dengan Corning terus menolak sempadan dalam prestasi paparan, memastikan kami memenuhi keperluan pengguna di seluruh dunia.”
Berbanding dengan generasi pertama Corning® Gorilla® Armor, Gorilla Armor 2 menawarkan ketahanan yang lebih baik. Peranti yang dilengkapi dengan Gorilla Armor 2 lebih mampu menahan cabaran harian yang kasar dan tidak dijangka. Khususnya, apabila terjatuh pada permukaan yang kasar, Gorilla Armor 2 direka untuk lebih tahan kerosakan seperti pecah berbanding sebelum ini.
Kurang pantulan pada permukaan panel
Sifat anti-pantulan Gorilla Armor 2 mengurangkan pantulan permukaan dengan ketara dalam persekitaran dalaman dan luaran. Sifat ini dapat meningkatkan nisbah kontras paparan, memberikan pengalaman pengguna yang luar biasa dalam pelbagai keadaan pencahayaan.
Dalam ujian makmal Corning, Gorilla Armor 2 berjaya bertahan daripada jatuhan setinggi 2.2 meter pada permukaan yang menyerupai konkrit. Bahan kaca seramik alternatif gagal apabila dijatuhkan dari ketinggian satu meter. Selain itu, Gorilla Armor 2 mengekalkan ketahanan calar yang luar biasa, menunjukkan lebih daripada empat kali ganda ketahanan calar berbanding kaca penutup litium-aluminosilikat dengan salutan anti-pantulan.
“Samsung dan Corning mempunyai sejarah panjang dalam bekerjasama untuk menyediakan teknologi paling maju dan inovatif kepada pengguna,” kata David Velasquez, Naib Presiden dan Pengurus Besar, Corning® Gorilla® Glass. “Dengan Gorilla Armor 2, kami menawarkan pengalaman pengguna yang tiada tandingan dengan bahan penutup kaca seramik yang tahan lasak dan maju dari segi optik pertama kali digunakan pada peranti mudah alih Galaxy.”
Kuasa pemprosesan yang lebih Elite
Di dalamnya ia mengandungi pemprosesan Snapdragon 8 Elite for Galaxy seperti yang dinyatakan tadi. Prestasinya dikatakan mempunyai peningkatan sebanyak 40% di dalam NPU, 37% dalam CPU, dan 30% dalam GPU berbanding sebelumnya. Bersama-sama dengannya didatangkan dengan pilihan storan 256GB, 512GB dan 1TB, serta kapasiti RAM yang sama 12GB.
Samsung juga menaik taraf struktur pelepasan haba model telefon pintar ini dengan ruangan kebuk pengewapan 40% lebih besar. Penggunaan bahan pengantaramuka disesuaikan (tailored interface material, TIM) pada Galaxy S25 Ultra juga dapat meningkatkan kecekapan termanya.
Kapasiti bateri telefon pintar ini masih lagi kekal dengan 5,000mAh bersama-sama sokongan pengecasan pantas 45W melalui USB-C. Ia juga menyokong pengecasan niwaryar 15W QC 2.0 dan pengecasan berbalik nirwayar 4.5W. Sungguhpun tiada perubahan pada spesifikasi baterinya, Samsung menyatakan kecekapan tenaga telefon pintar ini telah dipertingkatkan untuk menjadikan ia tahan lebih lama berbanding Galaxy S24 Ultra.
Perisian Kamera yang Lebih Baik
Dari segi fotografi, model tertinggi di dalam siri ini mengekalkan kamera utama 200MP, kamera telefoto 50MP dengan zum optikal 5x, dan telefoto 10MP dengan zum optikal 3x. Hanya kamera ultra lebar sahaja yang berbeza kerana telah dinaik taraf ke sensor 50MP. Kesemua kamera-kamera ini mempunyai OIS kecuali pada ultra-lebar. Untuk kamera hadapan pula ia masih kekal 12MP.
Walaupun terdapat perubahan kecil pada perisian pengimejannya, Samsung menyediakan sejumlah penambahbaikan pada aras perisiannya. Ia merangkumi Virtual Aperture baharu untuk kawalan kedalaman medan, fotografi pencahayaan rendah yang lebih baik, rakaman HDR 10-bit secara lalai, dan sokongan pihak pertama untuk format Galaxy Log.
Dalam pada masa yang sama, ciri diperkaya dengan AI Audio Eraser membolehkan anda membuang keluar bunyi bising yang tidak dikehendaki seperti muzik atau hiruk pikuk perbualan orang di sekeliling dari video anda.
Lain-lain yang tidak kurang menariknya pada Galaxy S25 Ultra ini ada pada antaramuka Samsung One UI 7 baharu dan juga ciri Galaxy AI baharu seperti Now Bar dan Now Brief. Ciri-ciri lain seperti Circle to Search, Call Transcript, Translate dan Writing Assist juga masih ada. Sama juga seperti model S25 dan S25 Plus, anda juga boleh membuka secara pantas Google Gemini dengan memegang pada butang sisi Galaxy S24 Ultra.
Harga Samsung Galaxy S25 Ultra di Malaysia
Samsung Galaxy S25 Ultra kini boleh dipra-tempah bermula dari hari ini 23 Januari sehingga 13 Februari 2025. Harganya bermula dari RM5,999 untuk konfigurasi storan 256GB, RM6,599 untuk 512GB, dan RM7,799 untuk 1TB. Warna-warna pilihannya pula terdiri daripada Silverblue, Gray, Whitesilver dan Black, serta Jadegreen, Pinkgold dan Jetblack pula ditawarkan secara eksklusif untuk pembelian melalui laman web rasmi Samsung.
Tambah Samsung lagi, pelanggan yang membuat pra-tempahan siri Galaxy S25 boleh menikmati tawaran eksklusif bernilai sehingga RM1,600. Antara yang ditawarkan naik taraf storan dua kali ganda secara percuma bernilai sehingga RM600 untuk model-model terpilih dan diskaun sehingga RM400 untuk pembelian menggunakan kad bank CIMB. Anda juga boleh menebus e-baucar pra-pendaftaran bernilai sehingga RM600 ketika membuat pembayaran.