Menjelang acara pelancaran Galaxy S23 yang dijadualkan pada awal Februari ini, rekaan telefon pintar mercu Samsung ini pernah didedahkan menerusi imej pengolokan CAD 3D. Kini, set rasmi imej promosi siri telefon pintar berkenaan pula tertiris yang turut mendedahkan reka bentuk Galaxy S23+ dan Galaxy S23 Ultra.

Laman berita 91Mobiles telah menerbitkan imej bagi kegunaan pemasaran siri Galaxy S23 yang mempromosikan Galaxy S23+, Galaxy S23 Ultra, bersama-sama peranti boleh pakai seperti Galaxy Buds 2 Pro dan Galaxy Watch 5. Galaxy S23+ diperlihatkan dengan pilihan warna merah jampu dengan Galaxy S23 Ultra pula dalam warna hijau.

Samsung tidak lagi menyertakan rekaan bonggol yang menempatkan kamera-kameranya seperti yang diperkenalkan pada Galaxy S21 dan Galaxy S22. Rekaan Galaxy S23+ kini memiliki ciri rekaan yang lebih hampir dengan Galaxy S22 Ultra. Galaxy S23 juga dijangka mempunyai rekaan yang sama sungguhpun hadir dengan saiz yang lebih kecil.Samsung Galaxy S23 Ultra Thin Bezels Leaks

Untuk Galaxy S23 Ultra pula, rekaannya kelihatan amat sama dengan Galaxy S22 Ultra yang dilancarkan pada tahun ini. Hanya sedikit perbezaan reka bentuknya iaitu pada bahagian gelung kameranya yang mengikuti warna telefon berkenaan. Sebelum ini, gelung pada kamera belakang S22 Ultra berwarna hitam. Rekaan pada bahagian kamera hadapannya juga masih sama seperti sebelumnya yang menawarkan paparan berpenebuk lubang.

Tinggalkan komentar