Tidak berapa lama sebelum ini, Samsung dikatakan sedang merancang untuk menjadikan Galaxy S22 Ultra sebagai pengganti kepada siri Galaxy Note. Ini berdasarkan ruang menyimpan S Pen yang mungkin disediakan padanya kelak.
Dalam pada masa yang sama, terdapat laporan ura-ura sokongan pengecasan pantas disediakan bagi siri Galaxy S22 ini. Namun, maklumat ini kemudian didapati bertentangan dengan maklumat kononnya persijilan dari CCC China yang mendakwa pengecasan pantas maksimumnya hanya 25W sahaja.
Samsung Galaxy S22 Ultra dengan bateri 5,000mAh dan pengecasan pantas 45W?
Selain itu, maklumat dari pentiris maklumat tegar Ice Universe mendakwa Galaxy S22 Ultra akan mempunyai sokongan pengecasan pantas 45W. Malah, ia juga akan hadir dengan bateri berkapasiti 5,000mAh. Sebagai perbandingan, Galaxy S21 Ultra 5G juga mempunyai bateri 5,000mAh tetapi hanya mempunyai sokongan pengecasan pantas 25W sahaja.
Sokongan pengecasan pantas 45W bukanlah sesuatu yang baharu di kalangan peranti-peranti Samsung. Sebelum ini Galaxy Note 10+, Galaxy S20 Ultra dan Galaxy Tab S7 FE juga mempunyai sokongan pengecasan pantas 45W.
Bukan itu sahaja maklumat yang ditiriskan oleh Ice Universe berkenaan Galaxy S22 Ultra. Beliau juga berkongsikan imej yang didakwa sebagai pelindung kaca terbaja (tempered glass) untuk telefon pintar mercu Samsung berkenaan. Secara luarannya, kelihatan rekaan Galaxy S22 Ultra ini kelak mungkin menyamai rekaan Galaxy Note sebelum ini.
S22 Ultra! pic.twitter.com/FwNvSimlq4
— Ice universe (@UniverseIce) October 23, 2021
Tidak ketinggalan, berita mengenai kemungkinan jenis pemprosesan yang akan digunakan oleh Samsung pada siri Galaxy S22 turut diperkatakan.
Ada yang berpendapat Samsung mungkin melancarkan dua versi bagi setiap siri Galaxy S22, iaitu sama ada menggunakan Exynos 2200 atau Snapdragon 898. Ini berdasarkan laporan mengenai syarikat telekomunikasi di Amerika Syarikat dan China meminta Samsung membawakan Galaxy S22 dengan Exynos di pasaran masing-masing.
Menarik untuk dilihat jika Samsung benar-benar melakukan perubahan besar terhadap Galaxy S22 Ultra terutamanya pada sokongan S Pen dan rekaan ruang menyimpannya. Tidak pasti sejauh mana penerimaan peminat siri Galaxy Note dalam mengikuti perkembangan baharu ini. Berikan komen anda di bawah mengenai perkembangan ini terutamanya jika anda merupakan peminat sejati siri Galaxy Note.













