Samsung secara rasminya telah mengumumkan majlis pelancaran produknya, Unpacked, bakal dilangsungkan pada 9 Ogos 2018. Sungguhpun tiada sebarang maklumat berkaitan peranti apa yang akan dilancarkan, kebanyakan pemerhati teknologi yakin Galaxy Note 9 bakal diumumkan pada majlis berkenaan.

Tambahan pula, di dalam iklan ejek yang disiarkan bersama-sama pengumuman ini secara terang-terangan menunjukkan S Pen, aksesori yang amat sinonim dengan Galaxy Note. Malah, di dalam pengumuman tersebut turut menyatakan peranti berkenaan adalah “premium Galaxy family”.

Walaupun timbul pelbagai spekulasi berkenaan Galaxy Note 9 sejak beberapa bulan kebelakangan ini seperti prestasinya, paparannya, memori dan juga kapasiti baterinya, peminat telefon pintar berjenama Samsung ini tentunya berharap ianya bakal direalisasikan pada bulan Ogos ini. Untuk itu, para peminat mungkin boleh mula menabung sementara menunggu kehadiran Samsung Galaxy Note 9 ini ke Malaysia.

Sumber berita diperoleh dari Samsung

Tinggalkan komentar