Samsung Galaxy Note 8 dijangkakan tidak akan didedahkan sehingga sekitar penghujung tahun ini, namun desas-desus berkenaan peranti ini telah pun timbul di sesetengah portal. Paling mencuri tumpuan adalah pada sistem kameranya yang dikatakan bakal hadir dengan sistem dwi-kamera dan 3X zum optikal.
Khabar ini hadir dari The Korea Herald yang menyatakan Samsung dijangka akan “mengimplementasikan sistem dwi-kamera untuk telefon pintar flagship keluarannya, Galaxy Note 8,” Turut dimaklumkan berkenaan mengapa Samsung sebelum ini beriya-iya mahu memasukkan sistem dwi-kamera pada Galaxy S8, tetapi terpaksa melupakan hasrat tersebut memandangkan ia bakal melibatkan kos yang lebih tinggi.
Pada bulan lepas, penganalisis KGI Securities, Kuo Ming-Chi turut menyebut tentang perkara yang sama berkenaan keupayaan kamera Samsung Galaxy Note 8. Menurut Encik Kuo, Galaxy Note 8 akan hadir dengan sistem kamera 12MP + 13MP; dimana setiap lensanya hadir dengan panjang titik fokus yang berbeza – lebih kurang sama dengan sistem dwi-kamera yang digunakan pada iPhone 7 Plus.
Melalui penggunaan panjang titik fokus yang berbeza pada kedua-dua penderia kamera-kamera ini, Galaxy Note 8 diyakini mampu melakukan 3X zum optikal. Sebagai perbandingan, iPhone 7 Plus setakat ini hanya mampu melakukan 2X zum optikal. Selain itu, penstabil imej optikal turut disediakan pada kedua-dua lensa kamera berkenaan.
Jika khabar angin berkenaan benar-benar sahih, Samsung Galaxy Note 8 yang bakal hadir ini adalah lebih canggih dari Samsung Galaxy S8. Apa pun, hanya masa yang menentukan kebenaran khabar angin ini.
Sumber berita diperoleh dari The Korea Herald













