Bersempena sambutan hari jadi Lazada ke-10 tahun, Samsung Malaysia telah memperkenalkan Galaxy M33 5G. Telefon pintar 5G peringkat menengah ini mempunyai banyak persamaan dari segi perkakasannya dengan Galaxy A33 5G. Cuma bezanya, ia tidak mempunyai kerintangan debu dan air bertaraf IP67, namun menyediakan bicu audio 3.5mm.
Samsung Galaxy M33 5G menawarkan kapasiti storan 128GB dengan tiga pilihan warna iaitu Biru, Perang dan Hijau. Ia menampilkan paparan TFT FHD+ 6.6-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz.
Memandangkan paparannya ini bukan dari jenis AMOLED, tiada ciri imbasan cap jari terbina dalam paparan disediakan. Fungsi berkenaan ditetapkan pada butang sebelah sisinya yang turut berperanan sebagai butang kuasa.
Disebalik telefon pintar ini, terdapat pemprosesan 5nm Samsung Exynos 1280 yang memberikan kuasa pengoperasiannya. Ia turut dibantu oleh kapasiti memorinya sebanyak 8GB dengan tambahan RAM maya melalui RAM Plus. Storan 128GB yang disediakan oleh Samsung Galaxy M33 5G ini boleh diperluaskan sehingga 1TB melalui slot kad mikroSD.
Samsung Galaxy M33 5G menampilkan tetapan kuad-kamera yang mengandungi kamera utama 50MP f/1.8, kamera ultra lebar 5MO dan dua kamera 2MP untuk bokeh dan kedalaman. Untuk kamera hadapannya, disediakan sebuah kamera 8MP pada takuk di sebelah atasnya.
Telefon pintar ini menggunakan bateri berkapasiti 5,000mAh yang menyokong Super Fast Charging 25W melalui USB-C.
Harga Samsung Galaxy M33 5G di Malaysia
Samsung Galaxy M33 5G secara rasminya dijual pada harga RM1,499. Bersempena promosi pelancarannya, anda boleh mendapatkannya pada harga RM1,399 di Lazada bermula dari 27 hingga 29 Mac 2022, selagi stok masih ada. Sama seperti model-model terkini keluaran Samsung, Samsung Galaxy M33 5G turut tidak didatangkan bersama-sama pengecasnya. 













