Samsung secara rasminya telah melancarkan Galaxy Buds 2 Pro di dalam acara Unpacked yang berlangsung malam tadi bersama-sama Galaxy Z Fold 4, Galaxy Z Flip 4 serta Galaxy Watch 5 dan Watch 5 Pro. Earbud ini merupakan rentetan dari Buds Pro dan Buds 2 yang dilancarkan pada tahun lepas, membawakan rekaan baharu dengan penambahbaikan prestasi di samping itu mengekalkan penalaan dari AKG.
Buds 2 Pro menampilkan pembesar suara dua hala koaksial pada setiap putik yang diperbuat dari driver 10mm dan tweeter 5.3mm bagi menghasilkan bunyian yang lebih padu.
Dari segi rekaannya, Buds 2 Pro baharu ini 15% lebih kecil jika dibandingkan dengan model terdahulu. Dalam pada masa yang sama, earbud ini masih lagi memiliki ciri kerintangan air IPX7.
Sorotan utama earbud ini tentunya pada kualiti bunyinya dengan sokongan bunyi hi-fi 24-bit dengan Samsung Seamless Codec dan Bluetooth 5.3 baharu. Ia juga didatangkan dengan “Intelligent Active Noise Cancellation” yang dikatakan 40% lebih baik dari model terdahulu.
Selain peningkatan keupayaan ANC, Buds 2 Pro juga dilengkapkan dengan ciri Samsung 360 Audio yang memberikan sokongan audio spatial. Turut disediakan Auto Switch yang membolehkan sambungan diubah secara automatik antara peranti. Misalnya jika earbud disambungkan ke TV Samsung, ia akan diubah sambungannya ke telefon Samsung Galaxy secara automatik jika menerima panggilan.
Samsung juga memperkenalkan mod perbualan khas yang dinamakan sebagai Voice Detect yang secara automatik menghidupkan mod ambien sebaik sahaja ia mengesan pemakainya sedang bercakap.
Bateri Samsung Galaxy Buds 2 Pro ini mampu bertahan selama 5 jam untuk sekali cas dengan ANC diaktifkan. Bersama-sama bekas pengecasnya yang boleh dicaskan sama ada melalui kabel USB-C atau nirwyaar, ia mampu memberikan tempoh main semula sehingga 18 jam. Samsung mendakwa earbud ini mampu digunakan selama 55 minit jika dicaskan hanya dalam tempoh 5 minit.
Samsung Galaxy Buds 2 Pro boleh didapati dengan pilihan warna Bora Purple, Graphite dan White. Berharga RM899, earbud terkini dari Samsung ini boleh dipra-tempah bermula dari sekarang menerusi Samsung Experience Stores, Samsung Authorized Partners dan Samsung Malaysia Online Store untuk mendapatkan Galaxy Buds2 Pro.

| Product | Model | RRP | Colour Availability | Rewards |
| Galaxy Buds2 Pro | Galaxy Buds2 Pro | RM899 | Bora Purple | 1 free Galaxy Buds Cover (worth RM99) |
| Graphite | ||||
| White |













