Telefon pintar mercu pada harga premium seperti siri Samsung Galaxy S atau Note pada kebiasaannya akan diberi keutamaan teknologi yang lebih terkini seperti teknologi rangkaian 5G seperti yang disediakan pada Galaxy S10 dan Note 10.
Walaubagaimanapun, agak mengejutkan apabila Samsung menyediakan teknologi rangkaian generasi terkini berkenaan pada telefon pintar peringkat pertengahannya, Samsung Galaxy A90.
Maklumat ini telah didedahkan oleh peniris maklumat terkenal, Evan Blass menerusi akaun Twitternya. Beliau telah berkongsikan foto bahan promosi telefon pintar berkenaan pada akaun peribadi milik beliau.
Dalam perkembangan yang berkaitan, sebuah laman forum berbahasa Korea turut sama berkongsikan spesifikasi telefon pintar berkenaan yang menunjukkan ianya bakal hadir dengan teknologi 5G.
Selain ciri rangkaiannya, turut tersenarai Galaxy A90 bakal menampilkan tetapan tri-kamera (48MP + 5MP + 8MP) untuk kamera utamanya, kamera swafoto 32MP, RAM 6GB, storan dalaman 128GB dan pemprosesan okta-teras (dijangkakan Snapdragon 855).
Berdasarkan spesifikasi yang dinyatakan, agak sukar untuk menjangkakan telefon pintar ini akan dijual pada harga seperti telefon pintar peringkat pertengahan lain di pasaran.
Sungguhpun siri Samsung Galaxy A bukanlah sebuah siri telefon pintar mercu seperti siri Galaxy S atau Galaxy Note, diharapkan sokongan teknologi 5G padanya mampu membuka ruang kepada lebih banyak telefon pintar peringkat pertengahan mempunyai sokongan 5G.













