Maklumat terkini mengenai Samsung Galaxy A57 telah muncul di pangkalan data pensijilan TENAA di China. Ia memberikan gambaran awal mengenai perubahan pada rekaan peranti tersebut.

Penyenaraian ini mendedahkan bahawa model akan datang ini akan hadir dengan badan yang lebih nipis. Rekaan modul kameranya juga telah dikemas kini menjadikan ia berbeza dengan model terdahulu.

Galaxy A56 (Gambar sekadar hiasan)

Berdasarkan imej yang didedahkan, Galaxy A57 sebahagian besarnya mengekalkan bahasa rekaan model tahun lalu. Namun ia hadir dengan beberapa penambahbaikan estetik.

Perubahan paling ketara terlihat pada modul kameranya yang berbentuk pil dengan struktur dua lapisan. Bahagian luar modul tersebut diselaraskan dengan warna peranti. Manakala bahagian dalamannya berwarna hitam bagi memberikan penampilan yang sedikit berbeza dan unik.

Selain aspek visual, dimensi fizikal peranti juga menunjukkan perubahan ketara ke arah profil yang lebih kompak. Galaxy A57 dilaporkan mempunyai ukuran 161.5 × 76.8 × 6.9 mm.

Seterusnya menjadikan ia lebih ‘kurus’ dan nipis berbanding Galaxy A56 yang berketebalan 7.4 mm. Pengurangan saiz ini turut menyumbang kepada berat peranti, yang dikatakan 16g lebih ringan berbanding model sedia ada.

Dari segi spesifikasi dalaman, maklumat tertiris mendakwa ia akan dikuasakan oleh cip pemprosesan Exynos 1680. Ia dijangka hadir dengan konfigurasi memori sekurang-kurangnya 8GB RAM, dengan desas-desus mengenai varian 12GB. Storan dalamannya pula mungkin sehingga 256GB sahaja.

Lain-lain spesifikasi yang dijangkaka:

  • Paparan: Skrin 6.6 inci FHD+ dengan resolusi 1,080 × 2,340 piksel.
  • Kamera Belakang: Gabungan lensa 50MP (utama) + 12MP + 5MP.
  • Kamera Swafoto: Sensor 12MP.
  • Bateri: Kapasiti 5,000mAh dengan sokongan pengecasan berwayar 45W.
  • Ciri Tambahan: Pengimbas cap jari terbina dalam skrin (in-display fingerprint sensor).

Setakat ini, pihak Samsung belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai tarikh pelancaran Galaxy A57. Walau bagaimanapun, spekulasi industri menjangkakan gergasi teknologi Korea Selatan itu mungkin memperkenalkan peranti ini pada bulan hadapan. Mungkin hadir bersama-sama siri Galaxy S26 yang dijadualkan pada 25 Februari.

Tinggalkan komentar