Roscosmos Russia telah mengumumkan penangguhan kerjasama melibatkan penggunaan Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS). Kenyataan ini dibuat sebagai tindakbalas terhadap sekatan antarabangsa yang dikenakan terhadap Russia oleh komuniti antarabangsa berikutan peperangan yang tercetus di Ukraine.
Ketua agensi angkasa lepas berkenaan, Dmitry Rogozin menerusi hantaran di Twitter menyatakan sekatan ini akan menjejaskan ekonomi dan kehidupan rakyat Russia.
Beliau turut menyatakan hubungan kerjasama bidang angkasa lepas dengan negara-negara terlibat hanya dapat dipulihkan selepas sekatan ekonomi tersebut ditamatkan.
ISS merupakan kerjasama antarabangsa dengan penglibatan lima buah agensi angkasa lepas dari pelbagai negara. Antaranya, NASA (Amerika Syarikat), Roscosmos (Russia), JAXA (Jepun), ESA (Kesatuan Negara-Negara Eropah), dan CSA (Kanada). Manakala Russian Orbital Segment (ROS) menguruskan penentuan arah dan navigasi untuk keseluruhan stesen angkasa tersebut.
Bulan lepas, Roscosmos telah membatalkan pelancaran satelit-satelit OneWeb sebagai tindakbalas terhadap sekatan yang dikenakan United Kingdom terhadap Russia. Russia buat masa ini semakin terasing dari platform digital dan kewangan antarabangsa, termasuk Google yang menangguhkan fungsi pembayaran melalui gedung aplikasinya, Play Store.
Tindakan agresif ketenteraan Russia terhadap Ukraine telah mencetuskan kebimbangan di kalangan komuniti antarabangsa. Seramai 1,232 orang awam direkodkan telah terkorban setakat ini dengan lebih kurang 4.2 juta penduduk lagi kehilangan tempat tinggal di Ukraine, menurut laporan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).