Rentetan dari sekatan perdagangan hampir seluruh pelusuk dunia terhadap Russia berikutan pendudukannya di Ukraine, agensi angkasa lepas Russia, Roscosmos kini enggan melancarkan sekelompok 36 buah satelit internet dari OneWeb selagi tuntutannya tidak dipenuhi.
Misi angkasa lepas berkenaan pada asalnya dijadual akan dilancarkan melalui roket buatan Russia, Soyuz pada 5 Mac ini dari Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan.
OneWeb merupakan syarikat internet satelit jalur lebar yang sebahagian daripadanya dimiliki oleh kerajaan United Kingdom (UK) bagi mengelakkannya dari jatuh bangkrap.

Ketua Pengarah Roscosmos Dmitry Rogozin, memaklumkan langkah ini diambil sebagai tindak balas terhadp sekatan yang dikenakan oleh UK. Pihaknya meminta agar kerajaan UK membatalkan pegangannya di dalam syarikat tersebut serta perlu menjamin satelit-satelit berkenaan tidak akan digunakan bagi tujuan ketenteraan.
Agensi angkasa lepas berkenaan juga menyatakan roket dan penggalak (booster) yang akan digunakan bagi misi tersebut juga telah dibayar dan tiada pampasan akan diberikan jika tuntutan tersebut tidak dipenuhi.
Sebagai respon terhadap tuntutan tersebut, Setiausaha Perniagaan dan Tenaga Kwasi Kwarteng telah menyatakan pihak kerajaan enggan menjual pegangan sahamnya terhadap OneWeb.
Statement:
The Board of OneWeb has voted to suspend all launches from Baikonur. pic.twitter.com/p8l80FGxId
— Eutelsat OneWeb (@EutelsatOneWeb) March 3, 2022
Sejurus kemudian, OneWeb telah memberikan kenyataan ringkas memaklumkan lembaga syarikat telah memutuskan sebulat suara untuk menangguhkan kesemua aktiviti pelancaran yang melibatkan penggunaan roket Soyuz.
OneWeb sedang merancang untuk membina sebuah konstelasi 650 buah satelit di angkasa lepas bagi menyediakan liputan internet di seluruh dunia. Sejumlah 428 buah satelit daripadanya telah pun dilancarkan.
Pelancaran perkhidmatan internet ini secara komersil telah pun ditangguhkan beberapa kali sebelum ini dan ia sepatutnya dirancang untuk diteruskan pada pertengahan 2022.
Dalam pada masa yang sama, pesaingnya di dalam pasaran internet jalur lebar satelit, SpaceX baharu sahaja menghantar sejumlah terminal Starlinks ke Ukraine bagi membantu mengatasi masalah gangguan capaian internet di sana.













