Lebih banyak pengeluar telefon pintar masa kini yang memperkenalkan kaedah perluasan RAM maya (virtual RAM) masing-masing bagi meningkatkan kapasiti RAM pada peranti. Penambahan ini dapat meningkatkan keupayaan peranti kurang RAM dalam memenuhi keperluan aplikasi semasa.
Selain itu, ianya mampu meningkatkan kecekapan fungsi berbilang tugasan dan menyimpan lebih banyak cache aplikasi meningkatkan kelajuan ketika membuka aplikasi.
Kini, telefon pintar Redmi Note 10 Pro menawarkan keupayaan menambah RAM maya sehingga 2GB melalui kemaskini terbarunya.
Kemaskini secara OTA ini telah disediakan bagi unit-unit untuk pasaran China terlebih dahulu. Apabila fungsi penambahan RAM maya ini diaktifkan, peruntukkan kapasiti 2GB dari storan dalaman akan disediakan dan ianya akan ditambah ke dalam RAM apabila diperlukan.
Oleh itu, jika konfigurasi RAM peranti anda adalah 6GB, ianya boleh diperluaskan sehingga 8GB. Manakala RAM 8GB pula boleh diperluaskan sehingga 10GB.
Saiz fail kemaskini ini boleh dikatakan agak kecil dan dijangkakan ianya akan diterbitkan kepada pengguna unit global Redmi Note 10 Pro tidak berapa lama lagi.













