Buat anda yang ingin mendapatkan telefon pintar Samsung yang mempunyai sokongan 5G dan Samsung Pay, Galaxy A32 5G kini ditawarkan dengan rebat RM100. Promosi baharu oleh Samsung Malaysia ini bermula dari sekarang hingga 19 Disember 2021.
Samsung Galaxy A32 5G telah dilancarkan pada Mac lalu bersama-sama Galaxy A52 dan Galaxy A72.
Telefon Samsung yang berharga RM1,199 ini didatangkan RAM 8GB dan storan 128GB dan kini berharga RM1,099 melalui promosi rebat yang ditawarkan.
Anda juga boleh mendapatkan perlindungan tambahan melalui Samsung Care+ dengan diskaun 20%. Perlindungan setahun Samsung Care+ ini meliputi kemalangan dan ketirisan air pada harga RM88 (harga biasa, RM110). Untuk perlindungan dua tahun pula, pelan ini boleh didapati melalui promosi ini pada harga RM168 (harga biasa, RM210).
Spesifikasi Samsung Galaxy A32 5G
Samsung Galaxy A32 ditawarkan dengan dua varian iaitu 4G LTE dan 5G dengan perbezaan yang ketara dari segi perkakasan di dalamnya. Bagi versi 5G, ia menawarkan skrin LCD TFT HD+ 6.5-inci dengan menggunakan cipset MediaTek Dimensity 720 5G.
Manakala bagi versi 4G LTE pula, Galaxy A32 ini hadir dengan paparan AMOLED Full HD+ 6.4-inci dengan kadar penyegaran semula 90Hz. Untuk pemprosesannya pula, telefon ini menggunakan MediaTek Helio G80.
Dari segi fotografinya pula, Galaxy A32 5G menampilkan tetapan kuad-kamera dengan sensor utama 48MP, sensor ultra lebar 8MP, sensor makro 5MP dan sensor kedalaman 2MP.
Untuk kamera hadapannya pula, disediakan sebuah kamera 13MP yang boleh digunakan untuk swafoto. Tidak ketinggalan, sebuah bateri berkapasiti 5,000mAh yang menyokong pengecasan 15W melalui USB-C turut disediakan.
Maklumat lanjut mengenai Samsung Galaxy A32 5G, layari laman web rasmi Samsung Malaysia.













